KUALA LUMPUR, 7 Nov – Cadangan memendekkan tempoh maksimum penahanan reman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), memerlukan perbincangan lanjut dan kajian menyeluruh.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata perkara berkenaan memerlukan kajian tertentu dibuat dan ia masih di peringkat perbincangan.
“Saya tidak boleh beri sebarang jawapan, biarlah polis menjalankan kajian terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis penutup persidangan mengenai jenayah komersial di sini hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbincangan sedang dilakukan berhubung cadangan memendekkan tempoh reman maksimum dari 28 hari sekarang yang dikatakan terlalu lama.
Dalam perkembangan lain, Mazlan menyambut baik cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan had transaksi tunai (CTL) sebanyak RM25,000 dalam usaha memperkukuh integriti kewangan negara.
“Ia satu usaha yang baik dan kami merasakan ia dapat membantu polis dalam menjalankan siasatan bagi kes-kes berkaitan,” katanya.
Timbalan Gabenor BNM dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC), Datuk Rasheed Ghaffour dilaporkan berkata langkah itu bertujuan menangani penyalahgunaan wang tunai untuk kegiatan haram. – Bernama