Home Politik Jangan salahguna aset, kuasa kerajaan untuk raih undi – SPR

Jangan salahguna aset, kuasa kerajaan untuk raih undi – SPR

by Bernama

PONTIAN, 4 Nov – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini sekali lagi mengingatkan calon dan parti bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai supaya tidak menjalankan aktiviti menjamu makanan dan minuman serta memberi hadiah, sama ada barangan atau wang, yang boleh mempengaruhi pengundi.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan berkata perkara-perkara itu merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau turut mengingatkan calon-calon atau parti-parti politik supaya tidak menyalahgunakan aset kerajaan atau kuasa kerajaan untuk meraih undi, dan mahu semua pihak terlibat supaya berkempen secara berhemah dan mengikut etika kempen yang menjamin keharmonian masyarakat.

“Semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen diingatkan agar sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya sepanjang tempoh kempen pilihan raya yang bermula selepas perisytiharan calon oleh Pegawai Pengurus pada 2 Nov 2019 sehingga 11.59 malam, 15 Nov, ” katanya.

Beliau berkata ia bagi memastikan kelancaran proses serta tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam sehingga berakhirnya tempoh berkempen.

“Perlu juga diingatkan bahawa apa-apa tindakan ataupun pernyataan yang mengganggu mana-mana pengundi daripada menjalankan hak pemilihannya secara bebas juga merupakan satu kesalahan. Antaranya tindakan atau pernyataan yang bertujuan ataupun cenderung untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati ataupun permusuhan antara kaum; mengancam hendak menggunakan kekerasan, keganasan ataupun halangan ke atas pengundi,” katanya.

Menurutnya lagi, segala arahan pihak berkuasa terutamanya SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa tempatan hendaklah sentiasa dipatuhi.

“Sebarang perbuatan yang melibatkan amalan rasuah haruslah dilaporkan kepada SPRM, manakala bagi setiap kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat ataupun apa-apa keterangan mengenai pelanggaran undang-undang oleh mereka yang terlibat dalam aktiviti kempen disarankan untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa yang berkenaan,” tambahnya.

Azhar berkata semua pihak turut diingatkan bahawa sebarang bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang pada hari mengundi termasuklah melalui saluran media sosial, malah kesemua parti dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggarakan pejabat atau barung semasa hari mengundi.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Barisan Nasional), Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Parti Barisan Jemaah Islamiah) dan dua calon Bebas iaitu pengasas pusat tuisyen Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Hari mengundi bagi PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan pada 16 Nov, manakala pengundian awal pada 12 Nov ini. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!