PONTIAN, 2 Nov – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 16 Nov ini bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon Bebas.
Pengumuman senarai calon yang bertanding oleh pegawai pengurus pilihan raya, Zulkifly Mohd Tahir dibuat kira-kira 11 pagi.
“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan tersebut dan setelah selesai disemak, saya berpuashati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan,” kata beliau ketika pengumuman di luar Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Membawa tiket PH, Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini, 66, menjadi sandaran untuk mempertahankan kerusi parlimen itu supaya kekal milik PH.
Turut bertanding adalah Ketua Bahagian MCA Tanjung Parlimen Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada 2008 hingga 2018.
Wee, 55, gagal mempertahankan kerusi parlimen itu apabila tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lepas.
Sementara itu, Gerakan pula menampilkan Timbalan Setiausaha Agung Nasionalnya Wendy Subramaniam, 38, selain penyertaan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.
Pertandingan kali ini turut menyaksikan dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock, 49, pengasas pusat tuisyen, dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, 45, seorang ahli perniagaan.
Terdahulu, Karmaine merupakan calon yang terawal tiba di pusat penamaan calon bersama pencadangnya, Mohd Zaiful Bakri dan Phang Wee Kiew dan menyerahkan borang pencalonan seawal 9.03 pagi.
Selang tiga minit kemudian, Wee tiba bersama pencadangnya, Mohd Isa Ismail dan penyokong L. Krishnan Kumar.
Berbaju Melayu hijau, Badhrulhisham juga sampai seawal 9.09 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan dengan ditemani pencadang Norfatin Akma Elias dan Norazizi Jaminon.
Ang, yang ditemani dua adik perempuannya iaitu Ang Shai Ling dan Ang Shallee, yang juga bertindak sebagai pencadang dan penyokong tiba di pusat penamaan itu pada 9.12 pagi.
Dua minit kemudian, Wendy, yang juga seorang peguam itu, tiba di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim itu bersama pencadangnya, Lu Meng Kuap dan penyokong, Poh Bee Chuan.
Hampir setengah jam selepas proses penamaan calon bermula, kehadiran seorang wanita berbaju kurung berwarna kuning menarik perhatian apabila dia turut mengumumkan menjadi calon Bebas.
Bagaimanapun, Faridah menghadapi sedikit kesulitan apabila pencadangnya tidak berdaftar sebagai pengundi manakala penyokongnya berdaftar sebagai pengundi tapi di kawasan parlimen lain.
Suruhanjaya Pilihan Raya kemudiannya menerima borang pencalonan ahli perniagaan itu pada 9.26 pagi apabila pencadang Mohd Kamarul Sahmi dan penyokong Saiful Bahri Adnan, disahkan sebagai pengundi berdaftar di parlimen Tanjung Piai.
Berbaki 10 minit sebelum pusat penamaan calon ditutup pada 10 pagi, seorang lelaki turut hadir untuk menyerahkan borang pencalonan tetapi tidak berjaya apabila pencadang dan penyokongnya dipercayai gagal hadir tepat pada masanya.
Di luar dewan turut kelihatan penyokong-penyokong dari parti-parti utama iaitu PH, BN, Gerakan dan Berjasa.
Turut kelihatan pemimpin-pemimpin utama parti termasuk Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian Dr Md Farid pada 21 Sep lepas akibat komplikasi jantung.- Bernama