KUALA LUMPUR, 1 Nov – Walaupun sudah selamat tiba di tanah air, perasaan sayu ketika berjauhan dengan keluarga tercinta masih dirasai, luah Kapten Mohd Faiz Mohamed.
Mohd Faiz , 33, yang bertugas di Markas Sektor Barat, Chama Camp, Lubnan sebagai Pegawai Perhubungan untuk misi pengaman Batalion Malaysia 850-6 (MALBATT 850-6) berkata, sudah menjadi lumrah sebagai seorang anggota terpaksa berjauhan dengan keluarga sekiranya terlibat dengan sesuatu misi.
“Tetapi, sebagai seorang anggota tentera, itu sudah menjadi tanggungjawab kita untuk berkhidmat buat negara dan bangsa,” katanya kepada pemberita ketika majlis sambutan kepulangan kumpulan keempat MALBATT 850-6 di Pangkalan Udara Subang pada Rabu lepas.
Beliau yang akan kembali bertugas di Jabatan Arah Infantri, Markas Tentera Darat (MK TD), berkata, terpilih sebagai anggota MALBATT 850-6 adalah pengalaman yang bermakna buat beliau kerana tidak semua pegawai dan anggota berpeluang untuk menyertai misi yang sukar ini.
Sementara itu, isterinya Nurul Antasha Razali,33, yang bekerja sebagai pembantu pegawai teknik di Telekom Malaysia (TM), menzahirkan kesyukuran kerana suami selamat tiba ke pangkuan keluarga setelah setahun berjauhan.
Nurul Antasha berkata, ini sudah menjadi kebiasaan buat beliau apabila terpaksa berjauhan dengan suami terlibat operasi, namun ini merupakan tempoh yang paling lama iaitu selama setahun dua bulan.
“Sebenarnya, bila kita sudah berkahwin dengan anggota tentera, kita tahu yang kita akan berkongsi dengan negara dan bila-bila masa sahaja dia akan tinggalkan kita demi negara,” katanya.
Tambah Nurul Antasha, banyak cabaran yang dihadapinya ketika ketiadaan suami apabila terpaksa menguruskan pelbagai urusan seorang diri, terutamanya dari segi pengurusan tiga anak lelakinya yang masih kecil iaitu Muhammad Adam Fudhail,6, Muhammad Nuh Fudhail,4, dan Muhammad Anas Fudhail,2.
Pada 30 Oktober lalu, kumpulan terakhir MALBATT 850-6 yang diketuai Kolonel Azhan Md Othman terdiri daripada 80 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta pegawai awam kewangan dari Kementerian Pertahanan telah selamat tiba di tanah air.