Home Semasa LTTE: Lima lelaki didakwa sekali lagi di mahkamah

LTTE: Lima lelaki didakwa sekali lagi di mahkamah

by Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Lima lelaki didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung kumpulan pengganas LTTE.

Mereka ialah ketua pegawai perbadanan S. Chandru, 38, juruteknik S. Arivainthan, 27, penjaga stor S.Thanagaraj, 26, pengawal keselamatan M. Pumugan, 29, dan seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52 tahun.

Kesemua mereka didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook masing-masing atas nama ‘Ariventhan Subramaniam’, ‘Tamilarasan Sivam’, ‘Pumagan Tamilan’ ,’Chandru Suparmaniam’ dan ‘Elilan Elilan’.

Mereka masing-masing dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Cawangan Khas Bukit Aman di sini pada 9 pagi dan 3 petang, antara 11 Jan dan 11 Okt lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Kesemuanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Pengakuan tidak direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes-kes di bawah SOSMA akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pengakuan mereka akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kemudian.

Pada 29 Okt lepas, kelima-lima tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri atas pertuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala peguam Ramkarpal Singh, Gan Chen Kiong, Damian Yeo dan R.S.N Rayer mewakili tertuduh. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!