Home Semasa Kerajaan PH fokus pemulihan negara – Tun Mahathir

Kerajaan PH fokus pemulihan negara – Tun Mahathir

by Bernama

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan baharu bekerja lebih masa untuk mencergaskan semula dan memulihkan keadaan kucar-kacir yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu, dengan jalan ke arah pemulihan kini semakin jelas kelihatan.

Berucap pada Sidang Kemuncak Korporat PNB 2019 di sini hari ini, perdana menteri menegaskan bahawa kerajaan melaksanakan reformasi penting untuk mempertingkatkan kestabilan, memperkukuhkan pengurusan fiskal dan memantapkan tadbir urus korporat serta ketelusan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan terus dibebani dengan hutang yang ditinggalkan oleh pentadbiran sebelum ini.

Beliau berkata meskipun kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk menangani perkara itu, ia akan mengambil masa untuk memperbaiki kedudukan fiskal negara.

“Kini sudah setahun setengah sejak kerajaan bertukar. Sambil kita membongkar lebih banyak lagi, kita dapat melihat bagaimana potensi Malaysia telah dibazirkan. Namun begitu, kita juga kini dapat melihat jalan ke arah pemulihan di hadapan,” kata Dr Mahathir.

Turut hadir pada sidang kemuncak bertemakan ‘Mencergaskan Semula Korporat Malaysia’ ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Dr Mahathir menegaskan bahawa kerajaan kekal komited untuk melaksanakan inisiatif yang diperlukan bagi mencapai matlamat utama menstrukturkan semula ekonomi ke arah menjadi progresif, berasaskan pengetahuan dan memperkasakan rakyat Malaysia.

Bagi mencapai matlamat itu, perdana menteri berkata adalah penting agar sektor swasta melaksanakan peranan sebagai pemacu utama ekonomi.

Dr Mahathir menarik perhatian bahawa ‘reboot’ (langkah mencergaskan semula) yang dilaksanakan oleh kerajaan telah menyaksikan beberapa keadaan normal kembali ke dalam sistem tadbir urus dan pentadbiran.

“Berdasarkan hubungan simbiosis antara kerajaan dan sektor kerajaan, tidak syak lagi, sektor korporat Malaysia juga perlu untuk ‘reboot’ dan kami percaya kerajaan akan kembali semula ke landasan yang tepat, begitu juga dengan sektor korporat,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!