Home Semasa Banjir: Cuti anggota bomba Pulau Pinang dibeku

Banjir: Cuti anggota bomba Pulau Pinang dibeku

by Bernama

GEORGE TOWN, 26 Okt – Cuti bagi 821 pegawai dan anggota bomba di Pulau Pinang telah dibekukan dan kesemua mereka kini dalam keadaan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan terutama banjir di negeri ini ekoran perubahan angin Monsun Timur Laut, kata Pengarahnya Saadon Mokhtar.

“Anggota Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang bersiap sedia 24 jam dari segi akses, keperluan peralatan dan logistik penyelamatan termasuk bot yang berada dalam keadaan baik serta persediaan pasukan Unit Udara di Bertam.

“Kami juga membuat rondaan dan pemantauan di kawasan rendah yang dijangka berlaku banjir jika hujan lebat bagi memastikan bantuan segera dapat diberikan” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bomba Komuniti Kelab Rukun Tertangga (KRT) Kampung Valley di Air Itam, di sini hari ini.

Sejak Isnin, beberapa kawasan di daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di negeri ini di landa banjir kilat dan sehingga hari ini sebanyak dua pusat pemindahan sementara dengan 110 mangsa banjir di tempatkan di situ.

Sementara itu, Saadon berkata pihaknya menyambut baik usaha KRT Kampung Valley mewujudkan pasukan Bomba Komuniti bagi membantu pihak bomba ketika berlakunya kebakaran.

Menurutnya Bomba Komuniti itu akan bertindak memadam kebakaran terlebih dahulu sementara menunggu bantuan dari pasukan bomba tiba di lokasi kejadian dan jika api berjaya di kawal lebih awal serta di padam, ia dapat mengelak dari berlakunya pembakaran yang lebih besar.

“Kami berbesar hati kerana dapat bekerja sama dengan KRT Kampung Valley dan Malaysia Fire Protection Association (MFBA) yang bertindak menyedia alat pemadam kebakaran kepada komuniti di sini. Setakat ini, terdapat 52 pasukan komuniti bomba di seluruh kawasan Pulau Pinang,” katanya.
– BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!