KUALA LUMPUR, 24 Okt – Sekiranya apa-apa berlaku berhubung tampuk pimpinan negara, kesemua 18 ahli Parlimen PAS dan enam dari UMNO, setakat ini, mahukan Tun Dr Mahathir Mohamad kekal memerintah negara.
Sokongan itu dinyatakan mereka susulan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan bertegas mahukan Dr Mahathir terus diberi mandat sehingga pilihan raya umum akan datang dan usaha memendekkan tempoh beliau dikira cubaan mewujudkan kerajaan ‘pintu belakang’.
“Saya nak menyatakan, kalau apa-apa berlaku, sebagai Ketua Whip PAS, 18 undi untuk Langkawi,” kata Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat semalam.
Dr Mahathir merupakan Ahli Parlimen Langkawi.
Di lobi Parlimen pula, enam ahli Parlimen UMNO – Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran), dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) senada menyatakan sokongan yang sama.
Keenam-enam ahli Parlimen berkenaan mahu Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri untuk memastikan fokus diberikan terutama dalam aspek kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Kami tidak mahu lihat ada masalah kerana peralihan (kuasa) dalam tempoh dua tahun ini. Ia satu perkara tidak masuk akal,” kata Mohd Shahar. – Bernama