Home Pertahanan dan Keselamatan Tabung Pahlawan tingkatkan kesedaran umum terhadap pengorbanan tentera – Menteri

Tabung Pahlawan tingkatkan kesedaran umum terhadap pengorbanan tentera – Menteri

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini menegaskan kutipan Tabung Pahlawan termasuk kutipan secara jalanan adalah bukan sahaja bertujuan untuk mengumpul dana tetapi turut mempertingkatkan kesedaran umum mengenai peranan Angkatan Tentera Malaysia dalam menjaga keamanan negara.

“Malu bukan jadi persoalan tetapi yang kita mahukan adalah untuk meningkatkan kesedaran umum akan peranan tentera kita dalam menjaga keamanan negara,” kata Menteri Pertahanan ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Paya Besar ketika sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menambah, antara penyumbang terbesar Tabung Pahlawan 2019 adalah dari syarikat yang tidak mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan Angkatan Tentera Malaysia mahupun Kementerian Pertahanan.

“Sumbangan dana dari pihak-pihak yang tidak mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan Kementerian Pertahanan mahupun ATM menunjukkan kesedaran dikalangan ahli korporat bahawa mereka dapat berniaga kerana negara aman,” jelas Mohamad.

Selain daripada itu, beliau turut menekankan stigma yang menyatakan tentera makan tidur menunjukkan kesedaran rakyat terhadap pengorbanan anggota tentera semakin berkurangan.

“Kita lihat pemimpin, ahli parlimen dan pegawai kerajaan England memakai bunga popi sebagai tanda penghormatan mereka kepada pengorbanan anggota tentera mereka,

“Di Australia, peruntukan dan penghormatan terhadap veteran adalah begitu tinggi sehinggakan terdapat pelbagai aktiviti diadakan bagi mempertingkatkan kesedaran umum,

“Di Malaysia masih ada rakyat yang mengatakan tentera makan tidur, ini menunjukkan kesedaran pengorbanan tentera di kalangan rakyat semakin berkurangan,” tegas menteri.

Menurut Mohamad, Tabung Pahlawan yang kini mengumpul kutipan sebanyak RM9.5 juta disasarkan untuk mencapai RM10 juta pada akhir tahun ini.

Selain daripada itu, beliau turut menyatakan pihak kerajaan akan terus memohon bantuan-bantuan tambahan seperti mewujudkan peluang pekerjaan kepada veteran.

“Mereka yang bersara dalam usia muda seperti 40-an akan mendapat peluang pekerjaan kedua selepas tamat perkhidmatan,” ujar Mohamad.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!