KUALA LUMPUR, 24 Okt – Perubahan situasi geopolitik dan konflik semasa pada hari ini menuntut Malaysia untuk menghasilkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) bagi menggariskan hala tuju keselamatan dan pertahanan tanah air.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam ucapannya berkata, kaedah dan formula pertahanan lama semakin lapuk dan tidak berkesan dalam menghadapi perubahan global.
“Suka atau tidak, kita memerlukan satu naratif baharu dan bersesuaian dengan perubahan pantas landskap pertahanan serta keselamatan global,
“Naratif yang diperlukan adalah naratif yang selari dengan keperluan masa depan negara serta menganjurkan pembaharuan dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia,
“Bagi memastikan pembangunan pertahanan negara menjadi sistematik, kerajaan telah berusaha untuk menghasilkan KPP yang pertama,
“Malaysia sebelum ini tidak pernah mengeluarkan KPP dan paling hampir adalah Dasar Pertahanan Negara (DPN) pada tahun 2010 dan Dasar Keselamatan Dalam Negeri (DKDN) pada tahun 2016,” jelas Mohamad.
DKDN telah digantikan dengan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Negara-negara jiran kita seperti Brunei, Kemboja, Filipina dan Singapura telah menghasilkan KPP mereka sendiri,
“Singapura telah menghasilkan KPP mereka buat pertama kali pada tahun 2004 dan terus diperbaharui,” kata Mohamad yang turut menyatakan negara jiran telah menggunakan KPP sebagai asas dasar pertahanan mereka.