Home Pertahanan dan Keselamatan Anggota, veteran ATM cedera diraikan

Anggota, veteran ATM cedera diraikan

by Admin

IPOH, 24 Okt – Seramai 90 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tercedera semasa operasi dan latihan berisiko tinggi di Perak menerima sumbangan dalam satu majlis di Kem 2 Briged di sini hari ini.

Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Malek Razak Sulaiman berkata sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM500 seorang itu adalah sebagai mengenang jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan anggota serta veteran semasa berkhidmat demi negara.

“Pelbagai lagi bantuan diberikan bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit sahaja, ada juga bantuan untuk anak-anak yang melanjutkan pelajaran serta peluang pekerjaan.

“Sumbangan ini hasil dana peruntukan kerajaan khas melalui Tabung Kebajikan Angkatan Tentera, di mana jumlah penerima saban tahun bergantung kepada dana itu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Meraikan Anggota Cedera Semasa Operasi dan Latihan Berisiko Tinggi Sempena Haril Ulang Tahun ATM Ke-86 Peringkat 2 Briged di sini hari ini.

Dalam pada itu, bagi para penerima sama ada yang telah bersara atau masih bertugas sumbangan itu dianggap sebagai penghargaan dan dapat memberi inspirasi untuk terus berkhidmat kepada negara.

Menurut Mohd Sufian Harun, 39 yang tercerdera semasa melaksanakan operasi di Johor pada 2009, sumbangan itu membuktikan kerajaan sentiasa prihatin kepada warga ATM.

“Ini adalah tanda kerajaan mengambil berat akan warga ATM sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban keluarga kerana sumbangan ini saya terima setiap tahun,” katanya.

Bagi veteran Azhar Yaakob, 64, sumbangan itu akan digunakan untuk perbelanjaan anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran di sebuah Institut Pengajian Tinggi dalam negara.

“Sepanjang berkhidmat pelbagai kecederaan yang saya alami namun yang paling kritikal adalah semasa menyertai operasi membanteras penyeludupan dadah di sempadan negara yang menyebabkan tulang paha hancur serta patah tulang belakang.

“Semasa berkhidmat saya ikhlas lakukannya demi negara namun selepas bersara apabila ada pemberian sumbangan seperti ini terasa seperti jasa yang dicurahkan amat dihargai dan ini memberi inspirasi untuk saya dan keluarga untuk terus menabur bakti kepada negara,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!