IPOH, 23 Okt – Anggota militan, Yazid Sufaat akan dibebaskan apabila tamat tempoh tahanannya bulan hadapan, demikian menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Katanya sebagai menghormati undang-undang, pihak polis tidak akan menyekat pembebasan Yazid, 55, yang kini ditahan di Penjara Simpang Renggam, dekat Kluang, Johor, selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA).
“Tidak ada kesalahan, apa sebab nak tahan. Dia dah jalani hukuman, kecuali selepas bebas dia lakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang, maka polis akan ambil tindakan.
“Tapi nak tahan berdasarkan anggapan orang (tentang Yazid), itu (polis) tidak akan buat. Kita faham kebimbangan orang ramai dengan pembebasan dia kerana ada kemampuan, terlibat secara serius dengan aktiviti keganasan,” katanya selepas merasmikan sambutan Jubli Emas 69 Komando di Padang Kawad Bridged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Dilaporkan, Yazid, yang mempunyai kaitan langsung dengan serangan 11 Sept 2001 di Amerika Syarikat, mungkin dibebaskan daripada tahanan bulan depan dan pembebasan itu mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pegawai antiterorisme negara.
Menjelas lanjut, Abd Hamid berkata pihak polis akan terus memantau Yazid, selain meneruskan usaha pemulihan bagi mengelak beliau kembali terjebak dengan aktiviti keganasan, serta mengambil tindakan maksimum untuk mengelak sebarang perkara tidak diingini.
Ditanya keadaan dan sikap Yazid semasa dalam tahanan, Abd Hamid berkata : “Dia agak sukar. Kita faham di dalam itu dengan tekanan mental, psikologi. Orang dalam tahanan bila dibebaskan kelak lain senarionya. Kita harap ia akan beri banyak pengajaran dan kesedaran kepada pihak beliau,” katanya.
Mengenai permohonan ‘habeas corpus’ lima individu yang dikaitkan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE), Abdul Hamid berkata semua mereka mempunyai hak dalam perlembagaan jika tidak berpuas hati atau rasa dianiaya.
“Sebab itu, di peringkat awal penahanan kita segera berikan akses kepada mereka untuk mendapatkan khidmat peguam, ini yang dikatakan keadilan. Bila difailkan ‘habeas corpus’, kita akan dengar hujahan peguam, dan pihak saya akan bentang alasan kenapa mereka perlu ditahan,” tegasnya.
Semalam, Bernama melaporkan mengikut senarai kes mahkamah di Kuala Lumpur, kes itu akan disebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah, Raja Shahril Anuar Raja Baniamin pada 10 pagi esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, Melaka, G Saminathan, 34, ADUN Seremban Jaya, Negeri Sembilan, P Gunasekaran, 60; S Chandru, 38; V Suresh Kumar dan seorang juruteknik, S Arivainathan, 56, memfailkan permohonan habeas corpus di kaunter pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di Kuala Lumpur antara lain memohon supaya mereka dibebaskan serta-merta daripada tahanan. – Bernama