KUALA LUMPUR, 22 OKT – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menahan enam warganegara Kemboja kerana melakukan jenayah melibatkan hidupan liar serta menceroboh kawasan Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu, Terengganu pada Sabtu lalu.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, tangkapan dibuat dibuat hasil serbuan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 3/2019 Zon Timur yang dianggotai Perhilitan, Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rimba.
Beliau yang juga anggota parlimen Kuala Langat berkata, hasil pemeriksaan terhadap enam orang penceroboh tersebut telah menemui satu unit disyaki cengkerang kura-kura, satu unit rantai disyaki taring babi hutan, satu unit rantai disyaki tanduk hidupan liar, satu unit disyaki gading gajah dan empat unit disyaki bulu kuang raya.
“Turut dirampas adalah beberapa peralatan mengambil Gaharu seperti enam unit kapak, enam unit parang bersarung, dua unit penggali, tujuh set alat pencuci gaharu dan satu unit bungkusan berisi kayu gaharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes ini disiasat dibawah Akta Pemuliharaan hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan jika disabit kesalahan hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Manakala di bawah Seksyen 60 akta sama iaitu menyimpan hidupan liar yang dilindungi boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,
“Bagi kes pemilikan kayu gaharu pula, kes akan disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993), jelanya.
Sementara itu, Dr Xavier menegaskan kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram hidupan liar dan aktiviti pencerobohan agar menghentikan aktiviti tersebut atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas.
Menurutnya, bantuan dan sokongan orang ramai juga diperlukan bagi menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam menangani isu ini.
“Adalah diharapkan orang ramai akan terus memberikan sokongan dan bantuan dengan menjadi mata dan telinga Perhilitan dan PDRM bagi membantu program OBK ini melalui penyaluran maklumat dalam usaha melindungi khazanah negara supaya tidak diancam kepupusan,
“Pada masa sama, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diharap dapat menghubungi talian hotline PERHILITAN di 1-800-88-5151 atau layari laman web www.wildlife.gov.my untuk maklumat lanjut,” katanya.