KUALA LUMPUR, 21 Okt – Aktiviti perikanan oleh nelayan penceroboh yang mencuri hasil laut di perairan Malaysia telah menyebabkan negara kerugian sebanyak RM 5 bilion ringgit setahun.
Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menyatakan perkara tersebut semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
“Pencerobohan oleh nelayan asing kita telah ambil tindakan tegas melalui Ops Naga melalui kerjasama dengan 3 kementerian,” jelas Salahuddin semasa menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan kekurangan dari segi bilangan aset untuk mengekang pencerobohan tersebut.
“Kita perlukan kapal induk untuk memudahkan operasi dan bergantung kepada KM Pekan semata-mata tidak mencukupi,
“Saya turut berharap nelayan-nelayan tempatan turut menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk membanteras pencerobohan nelayan asing,” jelas Salahuddin.
OPS Naga telah dilancarkan semenjak 24 April lalu dan sebanyak 128 bot nelayan asing yang menceroboh berjaya ditahan. Operasi ini dijalankan di perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.