KUALA LUMPUR, 21 Okt – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneruskan lesen pengoperasian kilang Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Kuantan bagi tempoh enam bulan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dalam memastikan pengurusannya lebih selamat.
Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Isnaraissah Munirah Majilis berkata pembaharuan lesen operasi Lynas itu diluluskan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) hanya untuk tempoh enam bulan bermula Ogos lepas, dengan syarat lebih ketat perlu dipenuhi kilang yang berasal dari Australia itu.
“Antara syarat-syarat yang ditetapkan adalah Lynas hendaklah mengemukakan perancangan bagi pembinaan kemudahan ‘Cracking and Leaching’ di luar negara bagi tujuan proses pemindahan dari lojinya yang kini di Gebeng Kuantan, katanya katanya di sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
“Kemudahan ‘Cracking and Leaching’ di luar negara hendaklah dibina dan mula beroperasi dalam tempoh 4 tahun dari tarikh sah lesen,
“Selepas kemudahan ‘Cracking and Leaching’ mula beroperasi di luar negara, pemegang lesen tidak lagi dibenarkan menghasilkan sisa radioaktif yang melebihi 1 Becquerel per gram di lojinya di Gebeng, Kuantan.
“Syarat-syarat tersebut adalah bagi memastikan bahawa penghasilan sisa radioaktif oleh operasi Lynas dihentikan pada masa depan.
Isnaraissah berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang meminta pihak kementerian terbabit menyatakan alasan kerajaan meneruskan kilang Lynas di Kuantan dan kesan kepada kesihatan rakyat apabila Lynas meneruskan operasinya.
Katanya ia bertujuan memastikan operasi Lynas, terutamanya daripada segi pengurusan sisa Lynas adalah selamat dan tidak mengancam keselamatan penduduk sekitar.
“Syarat-syarat baru ini diputuskan susulan keputusan Jemaah Menteri adalah berdasarkan syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Materials Plant dalam laporannya pada November 2018,” jelasnya.
Sementara itu, bagi syarat-syarat Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF), Isnaraissah berkata ia bertujuan memastikan pengurusan sisa residu ‘Water Leach Purification’ (WLP) adalah ketat bagi jangka panjang berbanding penstoran sisa radioaktif WLP yang sebelum ini dibenarkan kerajaan terdahulu di tapak penstoran sementara (RSF).
Menurut Isnaraissah LPTA akan tetap melakukan pemeriksaan berkala ke atas premis Lynas serta menjalankan pensampelan alam sekitar sebagai langkah verifikasi.
Merujuk Seksyen 22 (1) Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304), Isnaraissah berkata sekiranya pemegang lesen telah melanggar mana-mana syarat lesen, Kerajaan melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom boleh membatal atau menggantung selama tempoh yang difikirkan patut terhadap mana-mana lesen yang dikeluarkan termasuk lesen kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd.