Home Semasa Mahu popularkan sukan payung terjun di Sarawak – Bekas Komando

Mahu popularkan sukan payung terjun di Sarawak – Bekas Komando

by Bernama

SIBU,15 Okt – Sukan payung terjun antara sukan ekstrem dan berisiko tinggi yang digemari ramai di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Namun di Sarawak, ia masih lagi asing dalam kalangan anak tempatan walaupun Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah menganjurkan Sibu International BASE Jump sejak tahun 2009 lagi, sebagai satu platform mempopularkan sukan lasak itu.

Justeru, seorang bekas anggota komando dan jurulatih payung terjun di Kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkalan di Sungai Udang, Melaka mengambil inisiatif menubuhkan Kelab Sukan Payung Terjun Kenyalang, awal tahun ini, sebagai landasan untuk peminat dan penerjun sukan payung terjun mempelajari kemahiran berkaitan.

Pegawai Waran 1 (B) Kasim@Ahmad Drahim, 62, anak kelahiran Kampung Lemang Pek, Daro dalam Bahagian Mukah, berkata penubuhan kelab itu adalah yang pertama seumpamanya di Sarawak.

“Saya yakin sukan payung terjun ini mampu menarik minat dan penyertaan ramai anak Sarawak selepas ini, cuma sebelum ini belum ada lagi badan khusus untuk memperkenal serta mempopularkan sukan ini di Sarawak.

“Kelab ini akan berusaha menarik seramai mungkin mereka yang berminat dengan sukan payung terjun di Sarawak. Setakat ini, kita ada 32 ahli di mana kebanyakan mereka dari Sarikei dan bekas jurulatih payung terjun dari tentera darat, tentera udara dan paskal,” katanya kepada Bernama.

Bekas Master Supervisor bagi latihan payung terjun angkatan tentera yang bersara pada 1998 itu berkata baru-baru ini kelab berkenaan telah menawarkan kursus sukan payung terjun dan mendapat sambutan amat menggalakkan walaupun kurang seminggu diuar-uarkan menerusi aplikasi Whatsapp.

Lebih 70 orang mendaftar terdiri daripada belia dan penjawat awam termasuk guru, yang memperlihatkan petanda baik kepada usaha mempopularkan sukan itu.

Bagaimanapun, Kasim berkata kewangan menjadi kekangan untuk kelab itu yang berpangkalan di Sarikei, melaksanakan penganjuran kursus serta beberapa perkara lain termasuk sesi jelajah ke seluruh Sarawak.

Kelab itu belum mempunyai dana stabil dan sedang berusaha untuk mendapatkan dana sama ada daripada Kerajaan Negeri, wakil rakyat atau badan-badan korporat di negeri ini.

“Ini adalah kekangan utama kelab setakat ini. Saya telah berjumpa dengan menteri bertanggunjgawab dengan sukan di Sarawak tetapi permohonan bagi mendapatkan dana tidak dapat dipertimbangkan kerana sukan payung terjun tidak diwartakan sebagai sukan untuk dipertandingkan seperti di peringkat dalam atau luar negara.

“Oleh itu kami berharap ada badan korporat di negeri ini sudi menghulurkan bantuan kewangan bagi membiayai aktiviti sukan payung terjun yang diadakan oleh kelab nanti,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memohon kepada penganjur acara supaya memberi laluan kepada kelab itu membuat pertunjukan sukan payung terjun kepada orang ramai di Sarawak.

Kelab itu akan bergabung latihan dengan Kelab Sukan Payung Terjun di Segamat, Johor pada awal tahun hadapan dan akan berusaha menyewa payung terjun beserta aksesori dari kelab sukan payung terjun di semenanjung dengan kadar sewa kira-kira kira-kira RM600 untuk sekali terjunan, sekiranya semuanya berjalan lancar. Kos untuk membeli satu set payung terjun anggaran RM50,000.

Kasim berkata dengan adanya penerjun dalam kalangan anak Sarawak, penganjur acara di negeri ini tidak perlu berbelanja besar untuk membawa penerjun dari Semenanjung untuk membuat pertunjukan sukan payung terjun selain ia dapat menjimatkan kos. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!