Home Pertahanan dan Keselamatan Polis lebih tahu untuk tentukan siapa pengganas – Mohamad Sabu

Polis lebih tahu untuk tentukan siapa pengganas – Mohamad Sabu

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih mengetahui dalam apa jua tindakan mereka dalam membanteras aktiviti pengganas di negara ini.

“PDRM lebih mengetahui daripada kita dalam membanteras kumpulan pengganas dalam negara,” kata Mohamad dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan, hari ini.

Namun begitu, beliau turut menyatakan kumpulan yang diisytiharkan sebagai pengganas oleh sesetengah negara tidak semestinya sama dengan beberapa negara lain.

“Misalnya Hizbullah mahupun HAMAS – mereka diisytiharkan sebagai pengganas oleh negara-negara tertentu tetapi bagi kita mereka memperjuangkan hak rakyat Palestin,” jelas Menteri Pertahanan.

Beliau turut yakin bahawa pihak PDRM telah mengambil kira pelbagai aspek dalam melakukan sebarang tindakan.

“Di Malaysia, kerajaan khususnya Cawangan Khas (PDRM) menentukan kumpulan mana yang dianggap sebagai pengganas,

“Saya yakin mereka bertindak menurut undang-undang dan begitu berhati-hati kerana negara Malaysia adalah terdiri dari pelbagai kaum,” jelasnya.

Dalam sidang media yang sama, Mohamad turut menegaskan Malaysia tidak terlepas dari ancaman dari pengganas.

“Ancaman yang dihadapi merupakan ancaman bukan konvensional seperti ancaman pengganas seperti Da’esh dan kumpulan-kumpulan militan lain,” katanya.

Beliau menambah, ancaman sebegini bukannya datang dari agama tertentu.

“Ancaman sebegini datangnya dari pelbagai pihak,” jelas Mohamad.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!