TANJUNG PENGELIH, 9 Okt – Berjauhan dengan keluarga bukanlah satu perkara yang mudah. Namun, demi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Perajurit Muda Eric Loi yang berasal dari Kuching, Sarawak terpaksa meninggalkan ibu dan adiknya.
“Saya rasa gembira sebab saya boleh berjumpa balik dengan keluarga dan saya bersyukur dapat tamatkan latihan saya dengan jayanya,” kata Eric.
Eric,19, merupakan anak pertama dari dua orang adik beradik, menceritakan bahawa pada mula ibunya membantah akan keputusan untuk menjadi seorang anggota TLDM.
Ibunya, Christine James berkata beliau berat hati untuk membenarkan Eric untuk menyertai TLDM, apatah lagi ayahnya telah meninggal dunia 8 tahun lalu.
Namun ibunya redha dengan keputusan anaknya Eric untuk menyertai TLDM.
“Oleh kerana dia berminat, saya buat satu perjanjian dengan dia. Jika dia berminat akan sesuatu bidang, dia perlu buktikan kepada saya dan lakukan yang terbaik,” ujar ibunya.
Mengenai pengaulan semasa dalam latihan, Eric berkata memandangkan bilangan kaum Cina tidak ramai yang melibatkan diri, beliau tiada masalah untuk menyesuaikan diri bercampur dengan pelbagai jenis bangsa. Malahan, kawan baiknya juga berbangsa India.
Menurut Eric lagi, harapan untuk menjadi seorang anggota TLDM sudah berjaya dan jika diberi peluang untuk menjadi pegawai, Eric ingin meneruskannya dan akan berjanji melaksanakan tugasnya dengan baik.
Eric merupakan antara 647 Perajurit Muda TLDM yang telah berjaya menamatkan latihan pada Pengambilan 219/19 di Padang Kawad KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, pada Ahad lepas.