PORT DICKSON, 8 Okt – Walaupun berbeza latar belakang, Perajurit Muda Ramkumarr Ramakrishnan bersama perajurit muda lain mempunyai hubungan yang baik ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA).
Ramkumarr merupakan salah seorang daripada 1,764 perajurit muda yang berjaya menamatkan latihan di PUSASDA selama 6 bulan sebelum melangkah jauh dalam dunia Tentera Darat Malaysia (TDM).
Walaupun penyertaan masyarakat bukan Bumiputera dalam siri kali ini masih lagi dianggap kecil, anak muda yang berasal dari Sungai Petani itu menyatakan bahawa tidak timbul sebarang isu perkauman semasa menjalani latihan.
“Di PUSASDA, kami tidak mempunyai masalah dari segi pergaulan walaupun berbeza dari segi latar belakang kaum dan hubungan kami rapat ibarat adik-beradik,” kata Ramkumarr yang merupakan anak kedua dari tiga adik-beradik.
Keputusan beliau untuk menyertai TDM mendapat dorongan dari ibu bapanya. Sokongan mereka sekaligus memberi semangat kepada Ramkumarr untuk menamatkan latihan.
“Perancangan saya pada masa yang akan datang adalah untuk menjadi seorang askar yang berjaya dan terlatih sehingga sampai tarikh tamat perkhidmatan,” katanya.
Pada masa yang sama, Ramkumarr turut menyeru anak-anak muda untuk menceburi bidang ketenteraan kerana bidang ini dapat mendisiplinkan diri.
Sementara itu, Ramakrishnan Kaliappam, bapa kepada Ramkumarr mengakui bahawa beliau berasa berat hati untuk melepaskan anaknya pergi untuk menjalani latihan perajurit muda di PUSASDA. Beliau meluahkan rasa bersyukur kerana anaknya berjaya menamatkan latihan.
“Dengan latihan yang diberikan, saya yakin bahawa Ramkumarr akan berjaya dalam bidang ketenteraan,
“Saya berharap dia lebih bersemangat dan dapat memajukan diri kehadapan dalam kerjayanya,” jelas Ramakrishnan.