PORT DICKSON, 7 Okt – Menjadi seorang anggota tentera bukanlah mudah kerana mereka perlu meninggalkan keluarga tercinta dalam jangka masa yang panjang demi negara. Itulah cabaran yang harus dilalui oleh para perajurit muda menyahut panggilan ibu pertiwi.
Bagi Perajurit Muda Muhammad Amirul Ashraf yang berasal dari Kedah berkata, ketahanan mental yang kuat adalah satu keperluan terutamanya apabila menjalani segala latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) dan seterusnya berkhidmat dalam Tentera Darat.
“Mula-mula susah nak serasi sebab berlainan agama, bangsa dan negeri. Tapi dalam masa dua hingga tiga bulan lebih semuanya baik. Saya pun ada kawan India dan kawan Sarawak, semua boleh jadi satu kumpulan,” katanya mengenai pergaulan bersama rakan berlainan bangsa.
Dengan dorongan dan sokongan daripada ibu bapanya, Ashraf menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan cita-citanya menjadi tentera yang diimpikan sejak kecil lagi.
“Pada masa akan datang jika saya dihantar ke tempat yang lebih jauh seperti di Sarawak, saya perlu belajar menyesuaikan diri menahan rindu memandangkan saya jarang meninggalkan keluarga untuk jangka masa yang lama,
“Askar ini bukan satu kerjaya yang mudah tetapi merupakan satu pekerjaan yang murni,” ujar Ashraf ketika ditemui selepas perbarisan tamat latihan di Padang Kawad PUSASDA, Port Dickson pada 5 Oktober lalu.
Sementara itu, ibu kepada Amirul Ashraf, Siti Jamilah meluahkan perasaan sangat terharu apabila anak keenamnya berjaya menamatkan latihan perajurit muda yang berlangsung selama 6 bulan.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah yang beri dia kesihatan yang cukup sempurna menjalankan segala latihan. Makcik berdoa, dia yang berusaha,” kata ibu Amirul Ashraf