TANJUNG PENGELIH, 7 Okt – Menjadi seorang anggota tentera merupakan satu kebanggaan kepada anak-anak muda setelah berjaya menamatkan latihan Perajurit Muda selama enam bulan.
Pada masa sama, ibubapa juga antara orang yang paling gembira setelah anak-anak mereka berjaya menamatkan latihan tersebut.
Bagi bekas anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL), Laskar Kanan Nasahrom Mokhtar, ayah kepada Laskar Muda Muhammad Azamudden berbangga kerana anaknya meneruskan legasi sebagai seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Saya nak beliau (Muhammad Azamudden) ada semangat perjuangan mempertahanankan negara, bangsa dan agama, utamakan bangsa kita dan juga agama kita,” kata Nasahrom.
Nashromturut berpesan kepada anaknya, jika mahu menjadi anggota tentera atau PASKAL, Muhammad Azamudden perlu lupakan sementara waktu ibubapa buat seketika.
“Kalau kita ingat emak bapa, kita tidak akan lepas, pasal latihan agak keras sedikit,” pesan Nasahrom.
Beliau berharap anaknya Muhammad Azamudden selepas ini mematuhi segala displin tentera, meletakkan displin tentera sebagai nombor satu.
Muhammad Azamudden merupakan antara 647 Perajurit Muda TLDM yang berjaya menamatkan latihan selama 6 bulan pada Pengambilan 219/19 di Padang Kawad KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, semalam.