Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut 647 perajurit muda TLDM tamat latihan

647 perajurit muda TLDM tamat latihan

by Air Times News Network

TANJUNG PENGELIH, 6 Okt – Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar, mengingatkan para perajurit muda supaya sentiasa memelihara tatatertib diri dan menjauhi segala gejala yang tidak berfaedah demi memastikan kekuatan serta keutuhan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai satu ketumbukan tempur yang sentiasa disegani.

“Saya berharap saudara-saudari yang merupakan anggota baharu dan muda dalam TLDM akan sentiasa memelihara tatatertib diri serta berfikir dengan waras sebelum melakukan sesuatu yang tidak berfaedah,”

“Latihan-latihan bagi mempertingkat kompetensi akan terus dilaksanakan demi memastikan Perajurit Muda sentiasa kompeten, relevan dan berupaya untuk berdaya saing pada masa hadapan,” kata Khairul dalam ucapannya semasa merasmikan Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TLDM Pengambilan 219/19 di Padang Kawad KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih pada hari ini.

Terdahulu, seramai 577 lelaki dan 70 wanita telah berjaya menamatkan latihan setelah mengangkat sumpah pada 10 April 19 yang lalu.

Sepanjang 6 bulan tempoh latihan, para perajurit muda telah dilatih dengan asas ketenteraan disamping menjalani pembentukan peribadi seorang anggota tentera.

Dalam majlis tersebut, Khairul Anuar telah menyampaikan anugerah kepada Laskar Muda Muhammad Nor Akmal Ahmad Jamil (Keseluruhan Terbaik Lelaki), Laskar Muda Intan Nur Nabilah Akmaruddin (Keseluruhan Terbaik Wanita).

Turut menerima anugerah Laskar Muda Muhammad Syamer Luqman (Terbaik Kawad), Laskar Muda Rosaliza Roslan (Terbaik Akademik), Laskar Muda Sasitharan (Sukan Lelaki) dan Laskar Muda Sabina anak John (Sukan Wanita). Manakala Divisyen Hulubalang dinobatkan sebagai Divisyen Terbaik Keseluruhan bagi pengambilan ini.

Panglima Pendidikan dan Latihan, Laksamana Muda Khalid Jaafar, pegawai-pegawai kanan dan veteran TLDM turut hadir ke majlis ini. Turut diadakan Pameran Kerjaya dan gerai promosi TLDM.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!