KUALA LUMPUR, 4 Okt – Polis menahan sebelas individu warga Myanmar termasuk seorang yang berperanan sebagai ajen disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan migrin di Puchong, Selangor, Isnin lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata empat daripada mereka ditahan di sebuah perhentian bas berdekatan pasar raya, termasuk seorang dikenal pasti sebagai ejen penerima dan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
“Susulan tangkapan itu, polis telah menggeledah sebuah rumah di Bandar Puchong dan menahan tujuh lagi lelaki warga Myanmar. Kesemua mereka dipercayai diseludup masuk dari negara asal untuk bekerja secara haram di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Beliau berkata tangkapan terbaharu itu mempunyai kaitan dengan operasi yang djalankan antara 22 hingga 24 Sept tahun ini di sekitar Lembah Klang, Kelantan dan Pulau Pinang, melibatkan sindiket penyeludupan migran warga Myanmar ke Malaysia.
“Sindiket berkenaan melibatkan warga tempatan dan asing yang menggunakan laluan darat dari Thailand dan seterusnya diseludup masuk melintasi Sungai Golok ke Rantau Panjang, Kelantan.
Kesemua migran ini kemudiannya dihantar melalui ejen ke negeri-negeri lain negeri untuk bekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan di Semenanjung Malaysia,” katanya.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63. Dengan tangkapan ini, jumlah tahanan secara keseluruhan membabitkan sindiket itu ialah 94 orang.
“Ia membabitkan seramai 88 individu warga Myanmar dan enam warga tempatan, termasuk ketua sindiket, pembantu ketua sindiket dan ejen. Statistik itu tidak termasuk seorang warga tempatan ditembak mati pada 24 September lalu,” katanya.
Abdul Hamid berkata, siasatan masih diteruskan, termasuk berusaha mengenal pasti individu lain turut terbabit dalam sindiket rentas sempadan bagi memastikan kegiatan penyeludupan migran dapat dilumpuhkan secara menyeluruh.