Home Semasa Kes Kematian Adib: PDRM tunggu arahan Peguam Negara – KPN

Kes Kematian Adib: PDRM tunggu arahan Peguam Negara – KPN

by Bernama

PUTRAJAYA, 3 Okt – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu arahan lanjut daripada Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung siasatan kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya sehingga kini masih belum menerima sebarang arahan lanjut.

“PDRM tidak menerima (arahan) rasmi. Jadi, apabila kami menerimanya, kami akan menyemak dan lihat apa yang akan PDRM lakukan,” katanya ringkas selepas sidang media pelancaran Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks KDN, di sini.

Semalam, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman SAC Mior Faridalatrash Wahid berkata PDRM akan memanggil semula individu yang pernah ditahan berhubung siasatan kes kematian anggota bomba Muhammad Adib sekiranya mendapat petunjuk baharu.

Sebelum ini, polis menahan 12 individu untuk membantu siasatan kes ini dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Jumaat lepas Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini, tahun lepas, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Susulan itu, PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyiasat dan mengenal pasti pihak yang terbabit dalam kematian Muhammad Adib. -Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!