JOHOR BAHRU, 2 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan sebuah kapal tangki kerana disyaki berlabuh tanpa kebenaran di perairan Permatang Timur, Kota Tinggi, petang semalam.
Pengarah ZMTS Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata kapal tangki MT Marios G sepanjang 175 meter dan berdaftar di Panama berkenaan ditahan bot ronda APMM di kedudukan kira-kira 11 batu nautika timur Tanjung Penawar, kira-kira 4.10 petang.
“Penahanan dilakukan selepas pemeriksaan APMM mendapati kapal tangki tersebut gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada pengarah laut.
“Penahanan ini juga bertujuan untuk mencegah kejadian rompakan di laut dan kecurian terhadap kapal yang bersauh tanpa kebenaran khususnya di perairan Permatang Timur, Tompok Utara dan Beting Ramunia di Kota Tinggi,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Mohd Zulfadli berkata pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 24 kru rakyat Filipina termasuk nakhoda, yang kesemuanya berumur lingkungan 20 hingga 58 tahun.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut masih belum melantik ejen perkapalan tempatan bagi mendapatkan kelulusan pengarah laut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran pengarah laut, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama