Home Pertahanan dan Keselamatan PDRM harap kerajaan pertimbang kadar elaun dan pembelian aset baharu – KPN

PDRM harap kerajaan pertimbang kadar elaun dan pembelian aset baharu – KPN

by Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Kadar elaun dan pembelian aset baharu untuk pasukan polis adalah antara perkara yang diharap diberi perhatian oleh kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020 minggu depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata antara aset yang diperlukan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah kenderaan perisai untuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), bot-bot peronda Pasukan Polis Marin dan gajet berteknologi tinggi, selain pembaikan premis kediaman warga polis.

“Banyak yang kami harapkan tapi kami pun faham tentang kekangan wang kerajaan. Jika boleh, PDRM bersyukur jika soal elaun, pembelian aset baharu kenderaan, termasuk kereta peronda dan trak meriam air (mendapat perhatian),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain itu, warga PDRM memerlukan lebih banyak perumahan yang selesa untuk anggota memandangkan mereka perlu tinggal di berek-berek polis bagi kemudahan untuk mereka digerakkan apabila berlaku kecemasan.

Bagaimanapun, pada masa ini lebih kurang 25 peratus terpaksa menyewa di luar kerana tidak cukup berek, katanya.

Abdul Hamid berkata keadaan itu agak menyukarkan anggota, terutama mereka yang ditugaskan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur yang melibatkan harga sewa rumah yang tinggi sedangkan elaun bulanan yang diterima adalah lebih kurang RM300.

“Jika mereka bekerja di Lembah Klang atau kota-kota besar, sewa bulanan rumah begitu tinggi berbanding dengan elaun bulanan yang mereka terima…sebab itu wajar elaun sebegini dinaikkan kadarnya,” katanya.

Selain itu, beliau juga berharap kerajaan dapat membaik pulih premis kediaman dan fasiliti seperti lif-lif di kuarters polis di seluruh negara.

“PDRM juga memohon kepada kerajaan agar mempertimbang untuk menambah keanggotaan khususnya untuk Pasukan Gerakan Am dan ESSCom,” katanya.

Belanjawan 2020 akan dibentang di Dewan Rakyat pada 11 Okt ini – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!