KUALA LUMPUR, 30 Sept – Balu Allahyarham Mej Mohd Zahir Armaya reda terima sebarang keputusan inkues, sekiranya ia dijalankan Lembaga Siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) berhubung kematian arwah suaminya.
Nour Shafinar Harun, 36, berkata dia sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan menerima keputusan sekiranya Lembaga Siasatan TDM dan keluarga suaminya ingin membuat proses inkues.
“Saya serahkan segala-galanya tentang apa yang ingin dilakukan (termasuk proses inkues). Ini disebabkan (saya) memahami apa yang telah terjadi disamping menerima risiko sebagai anggota tentera dalam apa juga situasi termasuk latihan.
“Apa yang berlaku, itu sudah takdir dan saya percaya kejadian tersebut adalah tidak disengajakan.
“Lagipun, tidak mungkin sahabat Allahyarham sendiri ingin menembaknya, walhal setiap latihan ada risikonya termasuk penggunaan peluru hidup,” katanya selepas hadir bagi menerima sumbangan dari Bank Muamalat di Kem Wardieburn, Setapak, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata sumbangan tersebut sebagai tanda keprihatinan pihak bank, terhadap insiden yang menimpa Allahyarham dan keluarga.
“Bank Muamalat menyampaikan sumbangan RM15,000 sebagai tanda menghargai pengorbanan anggota tentera terhadap negara dan juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat institusi kewangan itu, bagi meringankan beban yang ditanggung,” katanya.
Pada Khamis lalu, Lembaga Siasatan TDM mengklasifikasikan kematian Allahyarham Mej Mohd Zahir ketika dalam latihan demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah pada 2 Sept lepas sebagai kejadian terpencil dan merupakan kemalangan dalam latihan.
Anggota komando 11 Rejimen Gerak Khas itu terkena tembakan jarak dekat, semasa demonstrasi itu dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. – Bernama