KUALA LUMPUR, 28 Sept – Seramai 372,031 pelanggan di 204 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran insiden pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini berkata, Unit Pasukan Pemantau Sungai Air Selangor (PASKAL) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengesan punca pencemaran bau dari Loji Rawatan Kumbahan di Bandar Mahkota.
“Pencemaran bau dengan bacaan 5 ton telah dikesan di sumber air mentah Sungai Semenyih dan menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihentitugas sepenuhnya,
“Insiden pencemaran ini merupakan insiden kali keempat bagi tahun ini dan telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar melibatkan kawasan yang luas,” jelas kenyataan tersebut.
Menurut Air Selangor, pengguna di kawasan Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran insiden pencemaran ini. Pada masa yang sama, pihak pengurusan air tidak memberikan sebarang tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan.