LUMUT, 27 Sept – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menyempurnakan perasmian dua blok apartmen Rumah Keluarga Tentera Laut Diraja Malaysia (RKTLDM) di Pangkalan Lumut, hari ini.
Beliau turut menyeru agar warga TLDM untuk lebih bersemangat dalam memberi khidmat bakti dengan peningkatan persekitaran tempat tinggal yang lebih kondusif dan terkini.
RKTLDM Blok A38 dan A39 merupakan blok kediaman terkini yang siap menjalani penambahbaikan yang siap pada 5 Mei lalu. Kerja-kerja renovasi telah dilakukan pada kedua-dua blok tersebut semenjak 17 April 2018.
Proses naiktaraf kedua-dua blok ini melibatkan anggaran kos sebanyak RM 19.61 juta dengan melibatkan kerja-kerja pembaikan menyeluruh tanpa mengubah struktur. Antara kerja-kerja pembaikan yang dilakukan adalah pendawaian, water proofing, perabot, tangki air, bumbung, sistem keselamatan, bekalan air bersih dan sistem melawan kebakaran.
“Program naiktaraf sebegini dapat menambah jangka hayat bangunan serta mempertingkatkan keselesaan penghuni yang terdiri daripada anggota TLDM serta keluarga,” jelas kenyataan tersebut
Sementara itu, kerja-kerja naiktaraf yang melibatkan 28 buah Blok A sedang dijalankan dan akan siap sepenuhnya pada tahun 2026.
Projek sebegini merupakan sebahagian daripada program Senggaraan dan Naik Taraf RKAT ATM yang terkandung dalam perancangan Blueprint Perumahan 2.0 yang diumumkan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia.