Nama Koperal Hamzah bin Hassan mungkin bukanlah satu nama yang gah seperti beberapa nama besar dalam sejarah tanah air. Tetapi, beliau merupakan antara anggota tentera yang telah menyumbang keringat dan pengorbanan kepada tanah air ketika pengganas komunis sedang bermaharajalela di dalam negara.
Walaupun secara fizikal kelihatan seperti insan biasa, tidak sesiapa pun yang menyangka bahawa beliau merupakan antara veteran yang mengalami kecacatan kekal di bahagian kaki kanan. Kaki kanan beliau hancur akibat terkena jerangkap samar oleh pengganas komunis ketika melaksanakan tugas di Gubir.
Hamzah yang merupakan anak kelahiran Kuala Lipis mula berkhidmat dalam Battalion ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (9RAMD) pada tahun 1974.
Dorongan beliau untuk menyertai anggota tentera adalah dari ayahnya. Pada ketika itu, Hamzah telah mendapat tawaran kerja di sebuah syarikat antarabangsa dengan gaji yang lumayan.
“Lokasi kami yang paling kerap ditugaskan adalah di Grik untuk menjaga kerja-kerja pembinaan Empangan Temenggor,
“Pihak komunis akan sentiasa mencari jalan untuk menggagalkan projek tersebut,” kata Hamzah semasa diwawancara oleh Air Times.
Menurut beliau, kitaran tugas semasa di Grik adalah tiga bulan berada dalam hutan dan sebulan di luar hutan. Beliau menyatakan temph bercuti adalah seminggu sahaja.
“Titi batang pokok adalah perangkap”
Selain di Grik, beliau dan pasukannya turut ditugaskan di kawasan Kroh. Kroh merupakan antara kawasan hitam di kawasan utara tanah air. Kawasan hitam ditakrifkan sebagai kawasan di mana gerila komunis sedang aktif bermaharaja lela.
Ketika ditugaskan di Kroh, pelbagai pengalaman telah dikongsikan oleh Hamzah. Antaranya muslihat yang digunakan oleh komunis untuk mengumpan anggota pasukan keselamatan untuk memasuki kawasan serang hendap.
“Bayangkan sebatang pokok sebesar tiga empat pemeluk tumbang merentasi anak sungai dan sudah tentu menjadi harapan mereka agar kami meniti pokok tersebut,” kata Hamzah.
Beliau berkata, sekiranya mereka meniti batang pokok tersebut, sudah tentu gerila komunis akan melancarkan serang hendap kerana tiada perlindungan terdapat di lintasan tersebut. Namun, anggota tentera memilih untuk tidak merentasi anak sungai tersebut.
“Lukis pelan kem tentera”
Selain daripada itu, Hamzah turut berkongsi pengalaman di mana beliau bersama-sama 10 orang anggota tentera yang lain terserempak dengan seorang anggota pengganas komunis yang sedang melakukan pengintipan terhadap kedudukan kem tentera.
Menurut beliau, peristiwa tersebut berlaku semasa mereka berehat dari melakukan rondaan.
“Salah seorang anggota pasukan memberitahu saya bahawa dia ternampak kelibat seseorang di busut yang berkedudukan 30 meter dari tempat kami,” kata Hamzah.
Beliau bersama seorang anggota pasukan mula bergerak perlahan-lahan untuk menangkap lelaki yang disyaki pengganas komunis. Ketika menghampiri kedudukan yang dimaksudkan, lelaki terbabit berjaya melarikan diri. Walaupun begitu, pengganas terbabit berjaya ditangkap oleh anggota Pasukan Polis Hutan dari Senoi Praaq tidak jauh dari kawasan mereka.
Menurut Hamzah, pengganas komunis yang berjaya ditangkap oleh polis hutan memiliki lukisan pelan kem tentera termasuk kedudukan kubu dan perimeter pertahanan.
“Gubir mengubah segalanya”
Kehidupan Koperal Hamzah berubah selama-lamanya apabila beliau terkena jerangkap samar di Gubir. Menurut beliau, kejadian berlaku ketika mereka baru sahaja tiba di kawasan operasi.
“Bila dah terkena jerangkap samar, saya lihat kaki kanan saya sudah berkecai dan kaki kiri cedera parah,
“Saya buka kasut dan ikat ‘tourniquet’ di kaki saya supaya tak kehilangan darah” kata Hamzah.
Ketika kejadian, Hamzah sudah bertunang dan akan mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya. Setelah diberikan rawatan kecemasan, beliau dibawa keluar dari kawasan operasi dengan menggunakan teknik ‘winching’ oleh helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Hamzah kemudiannya dirawat di Hospital Alor Setar selama sebulan sebelum dipindahkan ke Rumah Sakit Angkatan Tentera.
Walaupun kehilangan kaki kanan akibat jerangkap samar yang dipasang oleh komunis, ahli keluarga Hamzah melahirkan rasa bangga mereka terhadap pengorbanan yang dilakukan oleh beliau. Selain daripada itu, tunang beliau turut mengambil keputusan untuk meneruskan perancangan mereka bagi mendirikan rumah tangga.
“Sebelum kahwin, saya ada tanya isteri saya sama ada dia masih menerima diri saya seadanya,” kongsi Hamzah.
Menurut beliau, isterinya sanggup menerima diri beliau seadanya.
“Saya tidak menyintai kaki abang, saya mencintai hati abang,” jelas Hamzah yang berkongsikan jawapan isterinya dengan nada sebak.
Selepas mengalami kecacatan kekal, Hamzah tetap meneruskan tugas beliau sebagai anggota tentera
“Jaga negara kita”
Hamzah turut menggesa agar generasi muda untuk menghargai nikmat keamanan yang sedia ada. Ini terutamanya dengan melihat pengorbanan yang dilakukan oleh anggota tentera dan polis semasa negara masih dalam kancah insrugensi.
“Perlu ingat bahawa ini adalah tanah air kita, sebaik-baiknya kita yang jaga,
“Kalau bukan kita yang jaga, siapa lagi?” kata Hamzah ketika mengakhiri wawancara.