PORT DICKSON, 25 Sept – Pemasangan kamera badan pada pegawai penguat kuasa akan meningkatkan tahap profesionalisme dikalangan pegawai sekaligus bagi menangkis tomahan ataupun fitnah dari pihak tidak bertanggungjawab, kata Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Paddy Abdul Halim.
Justeru, beliau berkata JKDM menyambut baik cadangan kerajaan dalam melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, Jabatan Imigresen, termasuk JKDM di negara ini.
“Penggunaan kamera pada badan tidak menimbulkan sebarang tekanan kepada anggota penguat kuasa sebaliknya ia memberi keyakinan kepada mereka untuk bertindak lebih profesional.
“Ia juga memberi semangat kepada mereka untuk menjalankan tugas lebih efisien dan telus sekaligus dapat menangkis tomahan ataupun fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya kepada pembertia di sini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam Dan Perasmian Persidangan Perwakilan Tri Tahunan Sesi 2019-2022 Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia. Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata pihaknya mempunyai Standard Operasi Prosedur (SOP) dari segi pemasangan kamera badan dan memberi jaminan pemasangan kamera itu sama sekali tidak akan mengganggu hak asasi setiap anggota penguat kuasa.
“Kita juga percaya ia tidak menganggu privasi anggota penguat kuasa sekiranya dilakukan dengan cara yang tepat dan wajar, tambahan pula anggota kastam turut memberi sokongan seratus peratus terhadap cadangan itu,” katanya.
Khamis lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam bagi menangani kes salah laku pegawai.
Katanya syor penggunaan kamera badan itu dipersetujui memandangkan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa bertugas seperti memukul orang yang disiasat bagaimanapun, Dr Mahathir berkata tarikh pelaksanaannya belum diputuskan memandangkan ia melibatkan kos kepada kerajaan.
Terdahulu, Aminuddin dalam ucapannya berkata dalam era globalisasi yang semakin kompetitif ini , Kesatuan Pegawai Kastam perlu menggembleng tenaga dan pemikiran untuk membina semula ciri-ciri pengurusan dan penampilan sebagai organisasi profesional yang mampu dalam menangani pelbagai isu dengan pantas.
“Ini sejajar dengan trend pengurusanan masa kini yang memberikan keutamaan kepada kepimpinan dan pengurusan sumber manusia yang berpaksikan kepada nilai-nilai, pembaharuan dan kepantasan.
“Saya berharap Kesatuan Pegawai Kastam dapat mencipta kejayaan dan kecemerlangan serta berharap sebagai pemimpin kesatuan akan terus memberikan khidmat yang cekap dan berkesan sekaligus menjana ahli-ahli ke tahap optimum,” katanya. – Bernama