Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Kapal Layar KRI Bima Suci Indonesia berlabuh di Pelabuhan Klang

Kapal Layar KRI Bima Suci Indonesia berlabuh di Pelabuhan Klang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Kapal layar tiang tinggi Tentara Nasional Indonesia -Angkatan Laut (TNI-AL) KRI Bima Suci berlabuh di Jeti Tambatan Pangkalan Pulau Indah, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada hari ini.

KRI Bima Suci dalam misi pelayaran diplomasi dan misi maritim fulkrum berada di Pelabuhan Klang bermula hari ini sehingga 27 Sept 2019.

Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata misi ini turut disertai Unit Latihan Kartika Jala Krida yang terdiri daripada 83 pelatih dari Akademi Angkatan Laut (AAL) Indonesia.

“Latihan Kartika Jala Krida bertujuan untuk memberikan pengalaman dan latihan kepada pegawai muda dalam menjalankan tugas di kapal serta menerapkan pelajaran dan pengalaman yang mereka perolehi selama misi pelayaran dilaksanakan, terutamanya dalam bidang navigasi.

“Malah ia juga adalah satu misi kebudayaan bagi memperkenal budaya negara itu kepada masyarakat tempatan di negara yang dikunjungi,” jelasnya.

Asisten Ketua Staf Sumber Manusia TLDM, Laksamana Pertama Anuar Mohamed berkata 5 Pegawai TLDM berpangkat Leftenan Muda turut bersama dalam perlayaran kapal latihan ini yang bermula dari Brunei ke Pulau Indah untuk mempelajari aspek-aspek pelayaran.

Menurut Anuar, selain aspek navigasi, pelayaran ini turut menekankan aspek kecintaan kepada persekitaran maritim, diplomasi pertahanan dan mengeratkan hubungan bukan sahaja Malaysia dan Indonesia tetapi negara-negara yang secara tidak langsung terlibat dalam pelayaran kali ini.

Sementara itu, Letkol Laut (P) Waluyo, Komandan KRI Bima Suci menyatakan pelayaran ini turut merangkumi pelbagai aktiviti setempat yang akan dilakukan oleh para pelatih.

“Pelayaran ke Malaysia pada kali ini turut bertujuan untuk mempereratkan hubungan diplomatik antara Malaysia-Indonesia yang telah terjalin sekian lama,

“Sepanjang tiga hari mereka di sini, mereka akan mengadakan pelbagai aktiviti yang akan disertai oleh Pegawai Kadet dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Pelatih AAL Indonesia turut akan mengadakan persembahan pancaragam di Waterfront, KLCC pada malam ini, “ katanya kepada pemberita di Jeti Tambatan Pangkalan Pulau Indah, Pangkalan TLDM Pulau Indah, Klang hari ini.

KRI Bima Suci, yang memulakan misi diplomasinya pada 5 Ogos lalu di Surabaya, Indonesia, akan melawat sembilan negara sehingga 9 Nov ini.

Setakat ini, ia telah melawat Manila (Filipina), Osaka (Jepun), Busan (Korea Selatan), Shanghai (China) dan Brunei dan Pelabuhan Klang (Malaysia).

Selepas di Malaysia, KRI Bima Suci akan belayar ke Phuket (Thailand), Yangoon (Myanmar), Padang Benou, Darwin (Australia) dan pulang ke Surabaya.

Kapal layar ini dibuka kepada pengunjung bermula hari ini sehingga Khamis jam 10 pagi dan berakhir pada 5 petang serta ia dijangka menyambung pelayaran pada pagi 27 September 2019.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!