Home Pertahanan dan Keselamatan APMM usir kapal penguatkuasa Vietnam ceroboh perairan Malaysia

APMM usir kapal penguatkuasa Vietnam ceroboh perairan Malaysia

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 21 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengusir keluar kapal penguatkuasa Vietnam ‘Fisheries Resources Surveillance KN 205’ yang mengganggu aset APMM iaitu KM Langkawi ketika menjalankan tugas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Ibrahim Mohamed berkata, KM Langkawi menahan sebuah bot nelayan Vietnam KG 95857 TS yang menceroboh perairan Malaysia untuk merompak hasil laut negara di kedudukan kira-kira 167 batu nautika laut di Tanjung Mat Amin Terengganu jam 9.pagi pada Rabu (18 Sept 2019) lalu.

“Dalam kejadian pada Rabu itu, kapal penguatkuasa Vietnam terbabit telah cuba menghalang anggota APMM dengan cuba menghimpit bot tahanan selain membuat pusingan berbahaya dihadapan KM Langkawi,

“Namun cubaan mereka gagal apabila KM Langkawi berjaya menghalang mereka daripada merapati bot tahanan yang sedang dikawal untuk dibawa pulang bagi siasatan lanjut,

“Pihak APMM telah memaklumkan insiden tersebut kepada kepada Wisma Putra,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ibrahim juga menyatakan APMM telah menghubungi Penasihat Pertahanan Vietnam untuk mengadakan perbincangan bagi menangani insiden yang berlaku dengan kadar segera semalam, namun beliau tidak dapat hadir dan hanya akan bertemu wakil dari Bahagian Operasi APMM pada minggu hadapan.

“Pada mulanya, kapal penguatkuasa Vietnam itu meminta agar KM Langkawi melepaskan bot nelayan mereka daripada ditahan, namun KM Langkawi tidak memenuhi permintaan mereka berikutan bot nelayan berkenaan telah melakukan kesalahan yang berat iaitu menceroboh perairan Terengganu untuk merompak hasil laut Malaysia, dan telah mengarahkan kapal tersebut keluar dari perairan negara,

“Bot nelayan terbabit bersama tiga nelayan termasuk tekong warga Vietnam ditahan dan turut dirampas diesel anggaran 9,000 liter serta peralatan menangkap ikan dan kesemuanya dianggarkan bernilai RM700,000,” ujar beliau.

Beliau berkata bot dan semua kru Vietnam tersebut telah dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman jam 6 petang pada 19 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan, dan juga Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurutnya, sejak 2006 hingga kini, APMM telah berjaya menahan 1,272 bot nelayan asing dengan jumlah kru yang ditahan seramai 10,408 orang.
“Dari jumlah tersebut, sebanyak 784 buah bot merupakan bot nelayan Vietnam dengan jumlah kru yang ditahan seramai 7,399. Nilai rampasan keseluruhan bot nelayan asing sejak 2006 dianggarkan berjumlah RM1.2 bilion,

“APMM akan meneruskan operasi bagi membanteras kegiatan kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!