Putrajaya, 20 Sept – Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan jangkitan asma dan mata (konjuntivitis) di kalangan rakyat negara ini sepanjang fenomena jerebu melanda.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Data yang dikeluarkan telah menunjukkan peningkatan penyakit asma sebanyak 15.8% manakala konjuntivitis pada 24.9%. Kedua-dua angka tersebut adalah berdasarkan pemantauan terhadap penyakit berkaitan jerebu oleh pihak KKM di 31 buah klinik sentinel jerebu.
“Terdapat peningkatan penyakit asma sebanyak 15.8% (1,187 kepada 1,375 kes) pada minggu epid (ME) 37 (8 hingga 14 September 2019) berbanding dengan purata ME 27 hingga ME 36 (30 Jun hingga 7 September 2019),
“Begitu juga dengan penyakit konjuntivitis, terdapat peningkatan sebanyak 24.9% (253 kepada 317 kes) pada tempoh masa yang sama manakala penyakit URTI menunjukkan penurunan sebanyak 17.3% (7,551 kepada 6,245 kes),” jelas kenyataan tersebut.
Pada masa yang sama, KKM mengesa orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.