Home Pertahanan dan Keselamatan Dentuman Meriam berusia 50 tahun

Dentuman Meriam berusia 50 tahun

by Bernama

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Dentuman Meriam berusia 50 tahun yang pernah meledak menggegarkan kubu musuh pengganas komunis dengan peluru hidup pada era menentang pengganas komunis dahulu, kini meneruskan bakti dalam Unit 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).

Pada 1969 sebanyak 18 pucuk meriam diperoleh Angkatan Tentera Malaysia dan diberi kepada Pasukan Tiga Regimen Artileri Diraja yang meriam ini aktif digunakan dan terlibat dalam operasi menggempur pengganas komunis sehingga meriam ini ditamatkan operasinya pada akhir 1977.

Pada 1 Julai 1981, Unit 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja ditubuhkan secara rasmi di Kem Terendak, Melaka dan unit ini menerima baki meriam yang telah dilucut taraf untuk menembak setelah tidak mampu lagi menembak peluru hidup.

Meriam yang setiap satu seberat 1,470 kilogram diserahkan kepada Unit 41 Bateri RAD (Istiadat) bagi tujuan melaksanakan tugas-tugas tembakan acara rasmi negara.

Unit 41 Bateri ini kini diketuai Left Kol Mohd Asri Che Wil dengan enam pegawai, 127 anggota dan 15 anggota tumpangan dari Kor Jurutera dan Jentera.

Daripada 18 meriam itu kini hanya tinggal enam meriam sahaja yang mampu berfungsi kerana faktor usia dan tiada alat ganti manakala meriam lain telah cannibalised untuk menjadi alat ganti kepada baki enam meriam tersebut bagi meneruskan kuasa tembakan.

Bercakap kepada Bernama, Mohd Asri berkata bagi tujuan tembakan pada sesuatu acara, peluru kosong digunakan iaitu dua das tembakan semasa latihan dan tujuh hingga 21 das tembakan mengikut acara tertentu.

Beliau berkata ubah suai dan penyelenggaraan meriam tersebut dilakukan oleh 15 anggota unit berkenaan dan mereka ini berkemahiran berkaitan meriam dari Kor Jurutera dan Jentera.

“Tugasan unit 41 Bateri ialah pada Sambutan Hari Pahlawan, Perarakan Panji-Panji, Hari Kemerdekaan, Hari Pertabalan, Pembukaan Parlimen, Pembukaan Dewan Undangan Negeri, sambutan tetamu negara yang bertaraf ketua negara dan acara lain yang ditetapkan mengikut pekeliling Jabatan Perdana Menteri Bahagian Protokol. Mereka mengendalikan semua urusan tembakan Meriam Istiadat untuk seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya.

Setiap kali sebelum acara rasmi bermula, pasukan ini perlu bersedia lebih awal dan meninjau posisi lokasi kawasan tembakan. Mohd Asri berkata pegawai akan menetapkan kawalan kawasan tembakan dan susunan meriam dengan tiga anggota untuk setiap satu meriam.

“Tembakan dibuat dengan arahan melalui komunikasi radio dengan pegawai yang berada berhampiran pentas utama dan bagi istiadat Sambutan Hari Kebangsaan, tembakan bermula serentak dengan lagu Negaraku yang dimainkan oleh pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Beliau berkata pegawai di lokasi meriam akan memberikan arahan ‘tembak’ pada masa yang tepat dan bunyi meriam Howitzer ini bergema dengan gelombang kejutan dan memberikan ‘kejutan semangat’ pada hadirin.

Sebaik tamat arahan tembakan, prosedur memeriksa kembali keadaan meriam, mengutip kembali kelongsong peluru dilakukan. Anggota tentera terbabit akan menukar uniform istiadat baju Melayu kepada pakaian celoreng dan kenderaan lori tentera akan beratur mengambil posisi menunda meriam berkenaan untuk kembali ke Kem Sungai Buloh, Selangor.- BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!