KUALA LUMPUR, 18 Sept – Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2019 yang dijadualkan Khamis ini ditangguhkan berikutan keadaan jerebu yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat di Putrajaya dan Shah Alam pada hari ini.
Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena sambutan tersebut akan tetap diadakan pada jam 7.10 malam, 18 September (Rabu) di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Manakala khutbah khas dan solat Jumaat pada 20 September di Masjid Negara juga diteruskan mengikut jadual.
Setakat jam 2 petang hari ini, IPU di Putrajaya mencatatkan bacaan tahap sangat tidak sihat iaitu 202.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.