Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Nuri ditembak bertubi-tubi ketika misi menyelamat pada zaman komunis – Lt Kol (B) Chong Keng Lay

Nuri ditembak bertubi-tubi ketika misi menyelamat pada zaman komunis – Lt Kol (B) Chong Keng Lay

by Bernama

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Misi yang diberi adalah mudah, menerbangkan helikopter Nuri untuk mengambil dan menghantar pasukan tentera ke sempadan negara serta membawa makanan ke kem-kem tentera di sempadan.

Tetapi, situasi negara ketika itu yang berhadapan dengan ancaman komunis menjadikan misi yang mudah itu amat getir dan boleh meragut nyawa anggota keselamatan negara.

Menceritakan pengalaman menerbangkan helikopter Nuri untuk menyelamatkan seorang anggota tentera di sempadan, Lt Kol (B) Chong Keng Lay yang mengendalikan helikopter Nuri pada 1977 hingga 1978 berkata helikopter yang dikendalikannya pernah ditembak bertubi-tubi oleh komunis.

“Seingat saya, sebanyak tiga kali Nuri yang saya terbangkan untuk misi itu ditembak oleh komunis dari bawah iaitu dua kali pada tahun 1977 dan sekali pada tahun 1978…nasib baik tiada yang buruk berlaku,” katanya kepada Bernama.

Chong, 74, yang bertugas di No 3 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang, ketika itu dipertanggungjawabkan untuk menghantar pasukan tentera dan membawa makanan di kem-kem sempadan di Gubir, Kedah; Kroh (Pengkalan Hulu), Perak dan sempadan Betong di Thailand.

Kejadian yang paling tidak dapat dilupakan bekas pegawai tentera itu ialah ketika misi menyelamatkan seorang anggota tentera berpangkat Sarjan yang cedera akibat pertempuran di Betong pada tahun 1978.

“Arahan yang diterima ialah misi untuk menyelamatkan Sarjan berkenaan, apabila tiba untuk mendaratkan Nuri di Landing Point, komunis telah menunggu ketibaan saya dan terus melepaskan tembakan menyebabkan saya tidak jadi mendaratkan Nuri lalu terus berpatah semula ke markas,” katanya.

Anak kedua daripada lapan beradik yang dilahirkan di Air Itam, Pulau Pinang itu berkata Timbalan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika itu, Tan Sri Mohamad Ngah Said bersama-sama ketua pasukan lain memutuskan misi membawa pulang anggota tentera yang cedera itu perlu dilaksanakan segera.

“Saya ingat lagi arahan beliau (Mohamad Ngah) kepada saya bahawa kita tidak boleh tinggalkan anggota itu di sempadan dan mesti segera menyelamatkannya.

“Sekali lagi saya terbangkan Nuri ke sana diiringi pasukan khas dan akhirnya kami dapat menyelamatkan anggota tentera yang cedera itu dan menghantarnya ke sebuah hospital di Pulau Pinang,” katanya.

Chong yang pernah dianugerahkan pelbagai pingat sebagai menghargai jasa-jasanya, berkata semua yang dilakukan, bahaya yang dihadapi dilaksanakan demi negara tercinta dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Antara pingat yang diterimanya ialah Johan Setia Diraja, Kesatria Angkatan Tentera, Ahli Mahkota Pahang dan Pingat Tentera Udara.

“Saya masuk tentera bermula dengan tentera darat pada tahun 1965 dalam Rejimen Jurutera…selepas lapan tahun, saya minta masuk TUDM dan pada tahun 1977 saya dihantar ke Butterworth, Pulau Pinang yang mana saya menjadi Kapten Nuri,” katanya.

Chong bersara daripada perkhidmatan pada tahun 1995, setelah 30 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia –  BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!