JAKARTA, 14 Sept – Kerajaan Indonesia mendedahkan bahawa ladang-ladang yang dioperasikan oleh 29 syarikat, termasuk 4 syarikat dari Malaysia dan sebuah syarikat Singapura telah disita kerana terlibat dalam aktiviti pembakaran terbuka, semalam.
Tindakan tersebut telah diambil oleh Jakarta semalam berikutan aktiviti pembakaran terbuka telah dikesan di kawasan tanah ladang milik kesemua syarikat tersebut.
Dalam sidang media di Jakarta, Menteri Alam Sekitar Indonesia, Siti Nurbaya Bakar, pihak kerajaan Indonesia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat-syarikat terlibat dalam aktiviti tersebut.
Indonesia pada ketika ini sedang berusaha untuk mengekang aktiviti pembakaran terbuka di negara republik itu berikutan fenomena jerebu yang berpunca dari aktiviti berkenaan.
Antara anak syarikat milik Malaysia yang didakwa terlibat oleh Menteri Alam Sekitar Indonesia ialah Sime Indo Agro (anak syarikat Sime Darby Plantation), Sukses Karya Sawit (IOI Corporation) dan Rafi Kamajaya Abadi (TDM Berhad).
Menurut Siti, ketiga-tiga syarikat tersebut beroperasi di wilayah Kalimantan Barat.
Sementara itu, sebuah lagi syarikat Malaysia, Adei Plantation and Industry (Kuala Lumpur Kepong Group) didakwa terlibat dengan aktiviti pembakaran terbuka di kawasan Riau. Pada masa yang sama, beliau turut menamakan sebuah syarikat Singapura, Hutan Ketapang Industri turut terlibat dengan aktiviti yang sama di Kalimantan Barat.
Terdahulu, Indonesia mendapat kritikan dari Kuala Lumpur berikutan fenomena jerebu yang melanda Malaysia semenjak bulan lalu.