KUALA LUMPUR, 6 Sept – Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada Kerajaan Indonesia supaya tindakan segera diambil untuk memadamkan kebakaran dan mencegah kebakaran daripada berulang serta menangani isu jerebu rentas sempadan pada ketika ini.
Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam kenyataannya berkata setakat 8 pagi tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan 61 stesen mencatatkan status kualiti udara tahap sederhana.
“Enam lagi stesen, kesemuanya di Sarawak mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat iaitu di Sri Aman yang mencatat IPU 166, Miri (133), Kuching (125), Sibu (123), Samarahan (120) dan Sarikei 109,
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada Rabu, imej satelit Pengurusan Atmosfera dan Laut Nasional (NOAA) 19 turut mengesan 9 titik panas di negara ini, masing-masing dua titik panas dikesan di Johor dan Pahang, Perak (satu titik) dan Sarawak (6 titik).
Menurut kenyataan itu, jerebu merentas sempadan adalah punca utama jerebu berlaku di seluruh negara.
“Pada 6 Ogos lalu, Malaysia telah membangkitkan isu jerebu rentas sempadan dalam Mesyuarat Ke-21 ‘Technical Working Group (TWG) dan Sub-Regional Ministerial Steering Comittee (MSC) on Trasboundary Haza Pollution’ yang turut dihadiri Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand,
“Dalam mesyuarat tersebut, Negara ahli MSC juga sudah bersetuju meningkatkan kerjasama menanggani pencemaran jerebu rentas sempadan secara berkesan,
“Malaysia yakin bahawa semua negara ahli MSC sedang berusaha sebaik mungkin bagi menyelesaikan masalah jerebu rentas sempadan pada ketika ini,
Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran secara terbuka, bekerjasama memadam kebakaran-kebakaran kecil dan melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727.