Home Pertahanan dan Keselamatan Hospital Medan di Cox’ Bazar bukti keprihatinan Malaysia terhadap masyarakat serantau

Hospital Medan di Cox’ Bazar bukti keprihatinan Malaysia terhadap masyarakat serantau

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Lebih 82,000 pesakit telah dirawat dan 2,200 pembedahan dilaksanakan di Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazar, Bangladesh sejak ia mula beroperasi pada Disember 2017.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany Nawawi berkata penglibatan petugas di dalam pengoperasian HMM ini merupakan satu pengorbanan serta jasa bakti yang tidak ternilai harganya.

“Ia juga akan mengangkat nama negara di mata dunia dan membuktikan bahawa Malaysia begitu prihatin terhadap isu-isu kemanusiaan masyarakat serantau,

“Ia sekaligus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa khususnya dalam aspek Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR),

“Pencapaian cemerlang yang ditunjukkan Tim Op STARLIGHT-3 sepanjang mengoperasikan fungsi HMM di sana, membuktikan bahawa nilai teras Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu kecemerlangan, integriti, setiakawan dan semangat kepahlawanan yang didukung oleh setiap anggota merupakan kunci kepada kejayaan operasi yang dilaksanakan, kata Mohd Reza ketika Majlis Sambutan Kepulangan Tim Operasi STARLIGHT-3 dan Penghantaran Tim Operasi STARLIGHT-4 di Wisma Transit ATM, hari ini.

Sementara itu, Kol (Dr) Shamsul Bahary Muhamad berkata HMM di sana merupakan hospital pelbagai disiplin dimana ia menyediakan kepakaran am bagi perkara pembedahan, perbidanan sakit puan, ortopedik dan petugas hospital berkerja 24 jam sepanjang minggu.

“Keperluan perubatan merupakan satu kepentingan, jadi kita di HMM menyediakan kemudahan kepakaran (Hospital Rujukan) supaya mana-mana kes yang memerlukan pembedahan, rawatan pakar dan rawatan lanjutan boleh diuruskan disana,

“Ia sekaligus meringankan beban kerajaan setempat yang sememangnya terbeban dengan suasana semasa,” ujarnya.

Beliau yang merupakan Ketua Tim Operasi STARLIGHT-3 menjelaskan kebanyakan kes yang diterima di Hospital Medan Malaysia terdiri daripada pesakit yang memerlukan rujukan dan perhatian pakar seperti kes-kes acute abdomen (sakit bahagian dalaman) dan ortopedik yang disebabkan oleh truma.

“Selain itu juga, kami turut menjadi pusat rujukan utama untuk kes-kes kecemasan bagi ibu-ibu yang hendak bersalin dan memerlukan pembedahan segera,’ katanya.

“Bagi kami tidak ada halangan yang besar untuk melaksanakan pengoperasian di sana, cuma beberapa perkara kecil iaitu isu bahasa perantaraan di sana. Tetapi masalah tersebut sudah kami atasi dengan mendapatkan 15 orang penterjemah tempatan bagi membantu melancarkan interaksi antara para doktor dan pesakit.

Masalah bekalan ubat turut menjadi kekangan pada awalnya kerana sistem industri farmasi di Bangladesh tidak sama seperti di Malaysia. Tetapi dengan kerjasama kerajaan Bangladesh, Hospital Medan Malaysia akhirnya dapat membeli bekalan ubat dengan harga lebih murah dan mempunyai kualiti yang sama seperti ubat di Malaysia.

“Kita tidak perlu mengimport ubat dari Malaysia, sekaligus ia dapat menjimatkan kos pengoperasian Hospital Medan Malaysia di sana,” jelas Dr Shamsul.

Terdahulu seramai 56 petugas Op STRALIGHT-3 yang diketuai oleh Kol (Dr) Shamsul Bahary Muhamad telah diaturgerakkan ke Cox’s Bazar, Bangladesh untuk pengoperasian Hospital Medan Malaysia sejak 28 Febuari hingga 28 September 2019.

Manakala Tim Op STARLIGHT-4 yang terdiri daripada 56 petugas juga akan diaturgerakkan untuk mengambil alih tugas dari Tim Op STARLIGHT-3. Penghantaran Tim ini diketuai oleh Kol (Dr) Shahril Nizam Abdul Jalil melibatkan empat orang Pegawai, 32 orang lain-lain pangkat (LLP) dan 5 jururawat awam.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!