Home Pertahanan dan Keselamatan Pelancaran 5 Div dan 13 Bgd, Tentera Darat perkemas struktur organisasi di Sabah

Pelancaran 5 Div dan 13 Bgd, Tentera Darat perkemas struktur organisasi di Sabah

by Bernama

KOTA KINABALU, 4 Sept – Pelancaran Divisyen Kelima Infantri (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri (13 Bgd) adalah penjajaran semula bagi memperkemas struktur organisasi Tentera Darat Malaysia di negeri ini.

Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata perkembangan geostrategik semasa mewajarkan struktur organisasi tentera darat di Sabah diperkemaskan.

“Justeru, Angkatan Petugas 450 ditukar designasinya kepada 5 Div, manakala 13 Briged (ESSCom) dinamakan 13 Bgd,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran 5 Div dan 13 Bgd di Kem Lok Kawi dekat sini, hari ini.

Angkatan Petugas 450 ditubuhkan pada 27 Mac 2014, manakala 13 Bgd ESSCom ditubuhkan pada 31 Jan 2017.

Beliau berkata, langkah ini sejajar dengan pelan strategik Tentera Darat iaitu (Army 2 10+10) yang akan digantikan dengan (Army 4Nextg) bagi memperkasakan Angkatan Darat di seluruh negara.

Katanya, penubuhan kedua-dua formasi ini tidak akan mencapai matlamatnya tanpa sokongan yang merangkumi perjawatan, keanggotaan, aset, infrastruktur dan kebajikan.

Ahmad Hasbullah berkata, Tentera Darat akan membalas inisiatif kerajaan dalam memenuhi keperluan keselamatan dengan jaminan keselamatan yang kredibel.

“Tentera Darat juga memerlukan sokongan rakyat tanpa mengira di mana kita datang. Slogan keramat, Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada begitu signifikan. Sejarah membuktikan gandingan itu mampu menjana kesan sinergi terhadap kedaulatan tanah air,” katanya.

Walaupun serba kekurangan, semangat juang dan sikap positif warta tentera darat di negeri ini amat membanggakan.

Katanya, Tentera Darat akan terus berusaha menambah baik pelbagai keperluan dan aspek kebajikan warganya di negeri ini.- Bernama

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!