KOTA KINABALU, 2 Sept – Sebuah bot nelayan tempatan menggunakan pekerja warga asing tanpa dokumen pengenalan diri sah ditahan di kedudukan 0.6 batu nautika Barat Daya Pulau Gaya oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sabah pada 10.30 pagi, semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Sabah Kapten Maritim Asmawati Mohd Tujeri berkata bot berkenaan ditahan kapal maritim yang melakukan rondaan di kawasan perairan Kota Kinabalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati nama tekong bot nelayan itu tidak sama seperti tertera di dalam lesen. Tekong bot itu dipercayai dikendalikan seorang warga Indonesia dan empat awak-awak dipercayai warga Filipina berumur lingkungan 16 hingga 38 tahun.
“Bot dan awak-awak dibawa ke Jeti Maritim Malaysia di Sepanggar untuk siasatan lanjut. Bot itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Asmawati berkata semua komuniti maritim perlu mematuhi undang-undang laut dan melakukan aktiviti perikanan seperti mana disahkan dalam lesen mereka.
Komuniti maritim turut diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kejadian kecemasan di laut menerusi talian 088-270 165 atau MERS 999. – Bernama