Home Semasa Kes saman fitnah Chin Tong – Azwanddin selesai secara baik

Kes saman fitnah Chin Tong – Azwanddin selesai secara baik

by Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kes saman fitnah difailkan Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong terhadap Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah selesai secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Saman itu berhubung dua artikel di media sosial yang dimuat naik oleh Azwanddin berkenaan isu pakaian seragam komunis.

Peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili Liew berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes secara baik di luar mahkamah selepas Azwanddin, selaku defendan bersetuju mengemukakan permohonan maaf yang akan diterbitkan di laman sesawang dan portal berita.

“Defendan perlu membuat permohonan maaf iaitu di Malaysiakini, Free Malaysia Today, The Star Online, Utusan Online, Laman Sesawang Rasmi JMM dan laman Facebook defendan, dalam tempoh 14 hari mulai hari ini,” katanya kepada pemberita selepas prosiding kes itu di dalam kamar Hakim Datuk Azimah Omar yang kemudiannya merekodkan penyelesaian kes dengan dihadiri peguam Sarah Abishegam, mewakili Azwanddin.

Ramkarpal berkata defendan perlu membayar RM40,000 kepada plaintif dalam tempoh 90 hari mulai hari ini.

“Defendan juga dihalang sama ada menerusi dirinya sendiri, ejen atau pekerjanya daripada mengucap, menulis, menerbit atau menyebarkan ucapan atau perkataan yang dikatakan memfitnah seperti dalam penyataan tuntutan tersebut,” katanya.

Liew memfailkan saman itu terhadap Azwanddin pada 27 Disember 2018 berkaitan hantaran Facebook yang mendakwa timbalan menteri itu sengaja memakai uniform komunis ke acara ketenteraan.

Azwanddin didakwa memuat naik imej dan kapsyen pada 30 Oktober tahun lepas. Ia juga mengenai artikel yang ditulis Azwanddin di laman web JMM pada 19 Nov dengan tajuk “Kementerian Pertahanan Kini Berada Dalam Tekanan Dan Ancaman”.

Liew menuntut antaranya ganti rugi am, ganti rugi teladan berjumlah RM20 juta serta injunksi bagi menghalang presiden JMM itu daripada terus menerbitkan artikel sama. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!