GEMENCHEH, 27 Ogos – Tiga orang anggota Tentera Darat Malaysia tercedera apabila kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) terbabas di Jalan Bukit Putus-Gemencheh petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, kenderaan pengangkut yang membawa muatan sebuah kereta kebal PT-91M Pendekar hilang kawalan ketika menuruni laluan berbukit. Punca kejadian dipercayai berpunca dari keadaan permukaan jalan yang licin akibat hujan lebat.
Kenderaan pengangkut yang dinaiki ketiga-tiga anggota berkenaan merupakan sebahagian daripada 9 buah KPKP yang membawa muatan 12 kenderaan berperisai. Konvoi tersebut berada dalam perjalanan ke Putrajaya bagi melakukan persiapan Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 pada 31 Ogos nanti.
Menurut sumber yang enggan didedahkan berkata, ketiga-tiga anggota yang cedera telah dibawa ke Hospital Tampin dan kereta kebal yang dibawa tidak mengalami sebarang kerosakan.
Difahamkan, konvoi tersebut meneruskan perjalanan sementara kerja-kerja mengalihkan KPKP dan muatan sedang dilaksanakan.
Insiden tersebut turut tular di media sosial semenjak petang semalam.
Galeri Gambar: