Home Pertahanan dan Keselamatan Kibar Jalur Gemilang: Bot Vietnam kelirukan Maritim Malaysia ditahan

Kibar Jalur Gemilang: Bot Vietnam kelirukan Maritim Malaysia ditahan

by Bernama

KEMAMAN, 26 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman menahan sebuah bot nelayan Vietnam kerana menceroboh perairan Terengganu semalam.

Pengarahnya, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid dalam satu kenyataan berkata nelayan terbabit mengibarkan Jalur Gemilang dan menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan palsu bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Bot yang dinaiki 13 awak-awak dan seorang tekong itu ditahan kira-kira pukul 10.05 pagi semalam di kedudukan 117 batu nautika dari Kuala Kemaman.

“Mereka cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan palsu dan mengibarkan Jalur Gemilang. Namun hasil pemeriksaan mendapati kesemua nelayan asing tersebut yang berusia antara 26 hingga 48 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata ketika ditahan, nelayan asing tersebut sedang leka menangkap ikan namun cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Jumlah rampasan termasuk sebuah bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan ikan sebanyak dua tan itu dianggarkan bernilai RM1 juta,” katanya.

Rashidilhadi berkata nelayan asing tersebut telah dibawa ke Jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi tanpa lesen yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia.  – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!