Home Pertahanan dan Keselamatan Tuntut kerjasama semua kaum pelihara keamanan negara – Veteran ATM

Tuntut kerjasama semua kaum pelihara keamanan negara – Veteran ATM

by Bernama

SUNGAI PETANI, 24 Ogos – Keamanan dikecapi negara hari ini yang merupakan hasil titisan peluh dan darah pejuang terdahulu, perlu dipelihara oleh semua kaum.

Bekas Pegawai Waran 2 (B) Tentera Darat Mustafa Sharif berkata tanpa kerjasama dan persefahaman erat semua rakyat Malaysia, agak sukar untuk membawa negara ini ke hadapan.

“Keamanan dalam negara kita ini, kalau tidak ada orang terdahulu, sekarang ini kita tidak mungkin dalam keadaan aman dan tenteram.

“Kita pertahankan dan perjuangkan apa yang kita sudah ada sekarang ini menerusi kerjasama antara kaum dan kita boleh bersatu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Bedong dekat sini pada Jumaat.

Mustafa, 64, merupakan antara 537 penerima PJM yang disampaikan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) peringkat negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Bagi Left (B) Oo Meng Jit, perpaduan antara kaum hari ini dilihatnya berbeza berbanding ketika masih berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Katanya, suatu ketika dahulu kepelbagaian kaum terutama dalam pasukan keselamatan mampu mempamerkan kebersamaan yang menjadi tunjang kekuatan pasukan itu.

“Dulu, dalam angkatan tentera kami berbilang kaum, Cina, Melayu, India, kami tingal bersama, kami berjuang bersama-sama dan bermain bersama. Tetapi sekarang, keadaannya sama sekali berbeza.

“Seperti orang kaya, mereka berjaya dalam perniagaan tetapi mereka tidak tahu tentera kita berjuang mempertahankan negara, anda fikir anda boleh berjaya dalam perniagaan (tanpa bantuan angkatan tentera),” kata veteran berusia 69 tahun itu.

Laskar Kanan (B) Muruthaiah Muniandy pula mengingatkan supaya semua rakyat Malaysia bersatu padu dan tidak terpengaruh dengan kenyataan negatif terutama yang disebarkan menerusia sosial media.

“Jangan baca benda yang tidak betul dalam media sosial, anda mesti mengesahkan terlebih dahulu barulah buat keputusan,” katanya yang menamatkan perkhidmatan dalam Tentera Laut sebagai Pegawai Wakil Tentera Laut Pulau Pinang. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!