SANDAKAN, 22 Ogos – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menahan dua kapal nelayan Vietnam yang didapati menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan di dalam kawasan perairan negara pada Rabu.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kapal itu ditahan ketika sepasukan PPM Sandakan menjalankan tugas rondaan Operasi Pensura Khas di kawasan perairan Pulau Lankayan dekat sini.
“Kira-kira pukul 9.45 pagi semalam, bot ronda PSC 13 dan PSC 63 PPM dengan kekuatan tiga pegawai dan lapan anggota telah berjaya menahan dan memeriksa dua buah kapal nelayan Vietnam dengan nombor pendaftaran CM/91254/TS dan CM/95180/TS bersama 10 kru kapal yang terdiri daripada lelaki warga Vietnam berumur antara 20 dan 40 tahun.
“Apabila diminta untuk berhenti, kapal nelayan Vietnam itu tidak memberi kerjasama, malahan telah cuba melanggar botronda Polis Marin yang boleh mendatangkan ancaman nyawa di samping mengancam aset kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Susulan itu, Mohamad Pajeri berkata kedua-du kapal itu dikejar selama lebih kurang setengah jam sebelum juragan kedua-dua kapal itu memberhentikan kapal masing-masing dan menyerah diri.
Mohamad Pajeri berkata kapal nelayan bersama peralatan yang keseluruhannya dianggar bernilai RM1.62 juta dirampas dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Sandakan.
Beliau berkata juragan serta kru kapal ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di Malaysia, dan kes disiasat di bawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta terhadap nakhoda kapal dan RM100,000 terhadap setiap kru kapal jika sabit kesalahan.
Katanya PPM Sabah sentiasa mengatur gerak aset pasukan dalam menjalankan rondaan dan operasi di perairan bagi memastikan perairan negara selamat dan tidak sewenang-wenangnya diceroboh oleh anasir luar yang mengaut hasil perikanan negara secara menyalahi undang-undang.
“PPM Sabah akan terus memerangi pencerobohan nelayan asing di perairan Sabah khususnya dan berharap masyarakat nelayan setempat juga dapat berkerjasama menyalurkan sebarang maklumat untuk membanteras pencerobohan nelayan asing yang merugikan negara,” katanya. – Bernama