Home Pertahanan dan Keselamatan Pesara tentera lari lebih 500km pamer semangat patriotik

Pesara tentera lari lebih 500km pamer semangat patriotik

by Bernama

ALOR SETAR, 19 Ogos – Gelaran warga emas bukan penghalang kepada dua sahabat untuk berlari sejauh 540 kilometer dari Dataran Alor Setar, di sini menuju ke Shah Alam, Selangor, sempena Larian Merdeka pada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Nasir Abas, 64, atau lebih mesra dengan panggilan ‘Pak Nasir’ berkata dia bersama rakannya pesara tentera, Krishnan Andy, 61, melakukan larian itu yang akan mengambil masa 12 hari bagi mempamerkan semangat cintakan tanah air.

“Ini merupakan kali ketiga kami berlari bersama sempena sambutan kemerdekaan negara. Dari aspek persediaan tiada masalah kerana setiap hari saya akan berlari antara jarak 20 hingga 30 kilometer (km), jadi saya rasa tiada masalah untuk habiskan larian nanti.

“Walaupun sudah berusia, ia tidak menjadi menghalang kerana tujuan utama larian ini adalah untuk menanamkan semangat patriotik tanpa mengira bangsa, agama, politik kerana mahu semua menghayati bulan kemerdekaan ini,” katanya kepada pemberita sebelum memulakan lariannya di sini, hari ini.

Nasir bersama Krishnan memulakan larian tersebut selepas majlis pelepasannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan negeri Mohd Asmirul Anuar Aris pagi ini di Dataran Alor Setar.

Nasir yang juga imam di Surau Al Hijrah, Kuala Kedah berkata larian itu melibatkan 12 ‘check points’ dan apabila tamat, ia dijangka dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records sebagai warga emas pertama yang berlari sejauh lebih 500km.

Sementara itu, Krishnan yang berdepan masalah sakit kaki pada larian tahun lepas berkata beliau melakukan persiapan lebih terperinci kali ini terutama daripada aspek kesihatan dan kecergasan.

“Saya sudah jalani pemeriksaan dan doktor kata semuanya baik, jadi tiada masalah untuk saya berlari. Dari aspek pemakanan, kami akan elak pengambilan minuman sejuk dan makanan berminyak bagi menjaga prestasi sepanjang larian,” katanya.

Dalam pada itu, Asmirul berkata keazaman yang dipamerkan kedua-dua warga emas itu adalah sesuatu yang membanggakan dan wajar dicontohi golongan muda dalam membawa serta menyebarkan mesej semangat patriotik.

“Mereka turut mengajak anak-anak muda dan ini membawa impak yang besar. Saya lihat melalui larian ini juga ia dapat mengembalikan semangat sayangkan negara buat semua rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!