Home Semasa Azmin kecam Anggota Parlimen Pasir Gudang desak Perdana Menteri berundur

Azmin kecam Anggota Parlimen Pasir Gudang desak Perdana Menteri berundur

by Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menempelak kenyataan Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang mengesyorkan agar Perdana Menteri mengambil langkah berundur.

Azmin berkata sebagai seorang anggota Parlimen PKR, Hassan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berbaur desakan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebaliknya menumpukan kepada agenda pembangunan di kawasan masing-masing.

Barisan kepimpinan PKR telah menyatakan pendirian teguh dan sokongan penuh kepada Dr Mahathir untuk meneruskan kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri, katanya.

“Soal Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri itu telah ditentukan oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang lepas.

“Alhamdulillah, setahun kepimpinan Dr Mahathir, kita telah meletakkan asas yang betul. Saya percaya sekarang ini adalah untuk pelaksanaan dasar-dasar yang telah ditetapkan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian selepas menyertai larian World Stats Congress 2019 di Dataran Merdeka bagi kategori 5 kilometer di sini, hari ini.

Hassan Rabu lepas membuat desakan itu rentetan pelbagai polemik yang ketika ini.

Hassan mendakwa, Dr Mahathir kini seolah hilang punca untuk berdepan dengan pelbagai isu terutamanya untuk mengendalikan isu tiga R iaitu isu kaum, agama dan raja.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi melepaskan lebih 7,000 peserta larian sempena Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa (ISI WSC 2019) ke-62 yang diadakan buat julung kalinya di Malaysia, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bermula hari ini sehingga 23 Ogos.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!