KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Airbus memperkukuhkan operasinya di Malaysia dengan membuka pusat penyiapan dan penghantaran (Completion and Delivery Centre, CDC) helikopter yang baharu di Subang, hari ini.
Pusat yang dibuka di Subang berperanan sebagai pusat aktiviti penyiapan helikopter Airbus yang baharu kepada pelanggannya di rantau Asia Tenggara.
Menurut Airbus, pembukaan CDC sekaligus memperkukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai pusat serantau helikopter Airbus bagi penyampaian perkhidmatan, sokongan pelanggan dan latihan simulasi penerbangan sepenuhnya.
CDC telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke pada hari ini.
Menurut Ketua Airbus di Malaysia, Raymond Lim, pembukaan pusat ini sekaligus membuktikan komitmen Airbus kepada pembangunan industri aeroangkasa Malaysia.
“Langkah pembangunan pusat penyiapan dan penghantaran helikopter serantau di Malaysia membuktikan komitmen tidak berbelah bagi Airbus untuk membangunkan industri aeroangkasa negara, khususnya untuk mempromosikan penglibatan Malaysia dalam pelbagai bidang industri perniagaan kami,
“Perkembangan ini merupakan sebahagian dari pelan perancangan pembangunan kami untuk rantau ini, yang akan membolehkan kami untuk menyampaikan perkhidmatan sokongan yang lengkap dan sebaik mungkin untuk pelanggan di rantau yang sedang pesat berkembang ini, disokong pula oleh rangkaian perkidmatan helikopter kami yang pelbagai dan menyeluruh,” ujar beliau.
Pusat helikopter serantau yang baharu ini mampu untuk menempatkan sebanyak empat buah helikopter bersaiz sederhana pada satu-satu masa.
Selain daripada itu, fasiliti ini turut mampu untuk memasang dan menghantar sehingga 20 buah helikopter setiap tahun merangkumi kesemua jenis model pesawat.
Dalam perkembangan lain, Airbus turut memperkembangkan lagi operasi pusat simulasi penerbangan gerakan sepenuhnya dengan penambahan simulasi Dauphin AS365 N3/N3+. Sebelum ini, Airbus turut menyediakan pusat simulasi H225/H225M.
Perluasan pusat operasi simulator ini secara tidak langsung menjadikan Malaysia sebagai pusat pengendalian latihan juruterbang dan krew untuk pelanggan dari sektor tentera, penyelamatan (parapublic) dan awam merentasi rantau Asia-Pasifik.